Pembaharuan ekonomi, asas kukuh ringgit dan ketahanan negara

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Pembaharuan struktur ekonomi yang dilaksanakan kerajaan terus menjadi pemangkin kepada daya tahan negara, bukan sahaja dari segi pertumbuhan tetapi juga kestabilan mata wang, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, beberapa perkembangan positif dapat dilihat tahun ini hasil pembaharuan yang berjaya menarik minat pelabur baharu, sekali gus menyokong pengukuhan ringgit.

Katanya, setakat penutupan pasaran semalam, ringgit telah mengukuh 5.55 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan 1.8 peratus berbanding mata wang rakan dagangan utama.

“Asas ekonomi yang kukuh serta usaha terselaras bagi memastikan aliran mata wang yang seimbang akan terus menyokong ringgit.

“Pembaharuan struktur terus menyokong daya tahan Malaysia, mengukuhkan disiplin fiskal, menarik pelaburan berkualiti tinggi dan mengembangkan peluang ekonomi. 

“Kemajuan dalam bidang strategik seperti peralihan tenaga, infrastruktur digital dan pembuatan bernilai tinggi meletakkan asas untuk ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya saing,” katanya dalam ucapan pada MyFintech Week 2025 di sini.

Program itu anjuran bersama oleh BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Fintech Association of Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation. 

Mengenai perkembangan ekonomi negara, Abdul Rasheed berkata, ekonomi Malaysia kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan global.

Beliau berkata, BNM telah membuat semakan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun ini kepada julat antara 4.0 peratus dan 4.8 peratus, mencerminkan ketidaktentuan yang memuncak pada perdagangan global. 

Tinjauan itu, jelasnya, kekal disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pelaburan yang mampan dalam infrastruktur untuk sektor strategik di bawah rancangan pembangunan negara.

“Sementara itu, inflasi diunjurkan kekal sederhana, dengan inflasi keseluruhan dijangka purata antara 1.5 peratus dan 2.3 peratus pada 2025. 

“Semakan unjuran ini mencerminkan kelonggaran berterusan dalam kos dan prospek permintaan yang stabil. 

“Dalam persekitaran ini, kesan daripada langkah dasar domestik dijangka kekal terkawal,” katanya. – UTUSAN