Proton, RCM perkukuh komitmen hijau, pemuliharaan alam sekitar

Perniagaan

PETALING JAYA:  Proton Holdings Berhad (Proton) memperkukuh inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama Reef Check Malaysia (RCM) dalam pemuliharaan alam sekitar bagi menjayakan kempen pembersihan pantai di Morib, Banting, Selangor baru-baru ini.

Kempen itu berjaya menghimpunkan seramai 157 sukarelawan dan merupakan usaha kali kedua Proton menjalankan program seumpamanya di kawasan berkenaan yang dikenali sebagai antara lokasi pantai dengan nilai biodiversiti tinggi di Selangor.

Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Ainol Azmil berkata, usaha itu bukan sahaja menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih dan sihat, malah mengukuhkan semangat kerjasama serta nilai teras korporat kami iaitu Teamwork, Achiever, Respect and Integrity (TARI). 

“Inisiatif ini turut menyampaikan mesej penting mengenai peranan individu dalam menjaga kelestarian alam sekitar, selain memberi pendedahan secara langsung kepada para peserta berkenaan impak pencemaran marin.

“Selain aspek kesedaran, Proton dan RCM turut mengumpul data sisa buangan sebagai input kepada perancangan dasar alam sekitar, khususnya dalam konteks pengurusan sampah marin.

“Program ini mencerminkan usaha Proton untuk menjadi jenama automotif yang bukan sahaja memacu pembangunan industri, tetapi turut memainkan peranan aktif dalam membina masa depan lestari,” katanya dalam kenyataan. 

Sebanyak 468.27 kilogram (kg) sisa buangan berjaya dikumpulkan oleh pasukan sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja Proton, vendor, pengedar serta institusi perbankan. 

Sisa yang dikutip termasuk barangan besar, plastik, logam, kaca, puntung rokok dan penyedut minuman plastik adalah antara komponen utama yang mencemarkan pesisir pantai.

Pantai Morib terletak kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur dan menjadi antara destinasi pelancongan domestik popular yang memerlukan perlindungan jangka panjang terhadap ekosistemnya yang sensitif. – UTUSAN