PHB raih penarafan AAA/Stabil/P1 oleh RAM Ratings

Perniagaan

PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), syarikat pelaburan hartanah di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) menerima penarafan kredit korporat AAA/Stabil/P1 oleh RAM Ratings. 

Menurut kenyataannya, penarafan AAA/Stabil turut dikekalkan bagi Program Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) (2024/-) dan Program Kertas Komersial Islamik (ICP) bagi tempoh 2024 hingga 2031 bernilai RM5.0 bilion.

Katanya, penarafan tersebut mengambil kira kedudukan kewangan PHB yang kukuh, pengurusan kos yang berhemat serta peranan strategiknya dalam menyokong agenda nasional melalui Amanah Hartanah Bumiputera (AHB),sebuah dana amanah unit patuh syariah.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, penarafan tersebut mencerminkan keyakinan pasaran terhadap asas kukuh syarikat serta pendekatan berhemat dalam pengurusan modal dan portfolio.

Katanya, pihaknya kekal komited untuk menjana nilai jangka panjang secara mampan, seiring mandat PHB untuk memperluas penyertaan ekonomi secara inklusif melalui pelaburan hartanah.

Beliau berkata, PHB mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat pada akhir 2024 dengan nisbah keberhutangan 0.29 kali (2023: 0.23 kali) dan nisbah tunai kepada hutang jangka pendek sebanyak 4.1 kali (2023: 1.2 kali).

“Meskipun kadar keberhutangan dijangka meningkat berikutan perancangan pengambilalihan aset siap dibina, PHB kekal berpegang kepada dasar kewangan yang berhemat dalam pelaksanaan strategi pertumbuhan jangka panjang.

“Sebagai langkah strategik, PHB kini menyusun semula portfolio dengan mengurangkan kebergantungan terhadap aset pejabat dan memfokuskan kepada sektor yang lebih lestari dan didorong oleh sokongan demografi seperti sektor perindustrian, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Peranan kami dalam menyokong pembangunan negara kekal menjadi keutamaan, terutamanya dalam memperluas akses bumiputera kepada pemilikan hartanah komersial menerusi AHB,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, PHB mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 17 peratus kepada RM464 juta berbanding RM396 juta pada tahun sebelumnya, disokong oleh pendapatan sewaan yang lebih tinggi serta kadar penghunian yang memberangsangkan dalam portfolio syarikat. 

Kecekapan operasi turut mencatat penambahbaikan dengan kos berkaitan hartanah terkawal hanya 1.2 peratus tahun ke tahun kepada RM177 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RAM Ratings, Julie Ng berkata, PHB dilihat sebagai entiti yang amat penting kepada kerajaan dengan mandat khusus untuk memperkukuh pemilikan bumiputera dalam hartanah komersial utama negara.

“Sokongan kerajaan jelas diterjemahkan melalui pemberian geran dan pengecualian cukai kepada PHB. Faktor ini, digabungkan dengan kecekapan operasi dan asas kredit yang kukuh, menyokong penarafan AAA/Stabil kami kepada PHB,” katanya.

Sehingga kini, dana AHB dianggarkan berjumlah RM5 bilion dan telah memberi manfaat kepada lebih 82,000 pelabur bumiputera di seluruh negara. – UTUSAN