Khazanah perkasa syarikat peringkat pertengahan 

Perniagaan

PETALING JAYA: Lebih 100 syarikat peringkat pertengahan (MTC) tempatan dijangka menerima manfaat secara langsung menerusi sokongan pembiayaan, ekuiti swasta dan pembangunan kapasiti di bawah inisiatif Dana Impak oleh Khazanah Nasional Bhd.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pendekatan dua hala yang dilaksanakan turut meliputi pelaburan ke atas bakat tempatan serta pembabitan pelabur swasta.

Katanya, inisiatif bersepadu itu dirangka khusus untuk melonjakkan daya saing serta pertumbuhan strategik syarikat bersaiz sederhana, sekali gus memperkukuh ketahanan ekonomi negara berdepan cabaran semasa.

“Melalui Dana Impak, Khazanah bertindak sebagai pemangkin dan penghubung, mengenal pasti jurang pasaran, membina kapasiti tempatan dan menarik pelaburan swasta berdasarkan pendekatan ‘whole-of-nation’. 

“Kami yakin MTC yang diperkasa dapat menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan mampan dan inovatif,” katanya dalam kenyataan.

Turut diperkenalkan ialah Program Inovasi Pertumbuhan MTC (MGIP) yang menyediakan bimbingan khusus kepada syarikat dalam membangunkan keupayaan strategi pertumbuhan baharu dan inovatif.

MGIP melengkapkan MTC dengan kemahiran untuk berkembang ke pasaran baharu, memperkemas model perniagaan dan memperkukuh barisan kepimpinan.

Setakat ini, 16 syarikat telah menyertai MGIP, termasuk Enda Group (jenama Siti Khadijah), NSW Automation dan Sipro Plastic Industries, yang menyifatkan program itu sebagai pencetus perubahan dalam pendekatan pertumbuhan perniagaan.

Dalam pada itu, Khazanah turut menggerakkan pelaburan menerusi strategi pembiayaan swasta tanpa pegangan ekuiti, dengan kerjasama Navis Capital Partners dan Granite Asia untuk menyokong pengembangan MTC tempatan.

Untuk strategi ekuiti swasta pula, Khazanah memeterai kerjasama bersama firma tempatan, Creador, bagi memperluas capaian pasaran dan menyokong pengukuhan operasi syarikat.

Inisiatif ini turut disokong peruntukan RM1 bilion di bawah inisiatif GEAR-uP oleh Kementerian Kewangan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025, seiring aspirasi Ekonomi Madani. 

Khazanah kini membuka penyertaan untuk kohort baharu MGIP yang dijadualkan bermula suku ketiga 2025, khusus kepada MTC tempatan yang berdaya saing dan berpotensi tinggi dengan hasil tahunan RM20 juta hingga RM500 juta. – UTUSAN