Malaysia B-20 wanita tewas 0-3 ditangan Iran

Sukan

KUALA LUMPUR: Hasrat skuad bola sepak wanita Bawah 20 Tahun (B-20) negara untuk memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-20 2026 dengan langkah kanan tidak kesampaian apabila tewas 0-3 di tangan Iran dalam aksi Kumpulan F yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, skuad muda negara mempamerkan semangat juang tinggi namun ketumpulan di depan gawang menjadi punca utama kekalahan, meskipun berjaya mencipta beberapa peluang terbaik sepanjang perlawanan.

Pada minit ke-13, peluang terhidang buat penyerang utama negara, Kaseh Carlmila untuk membuka tirai jaringan namun kegagalan menyudahkan peluang tersebut memberi ruang kepada Iran melancarkan serangan balas pantas yang disudahkan oleh Maryam Dini untuk gol pembukaan pelawat.

Sepuluh minit kemudian, Kaseh sekali lagi dihidangkan peluang keemasan, namun kali ini penjaga gol Iran, Atena Tofigh, tampil cemerlang menyelamatkan daripada gawangnya dibolosi.

Sebaliknya, Iran pula menggandakan jaringan pada minit ke-28 menerusi situasi kelam kabut di hadapan gawang negara, yang sekali lagi disudahkan oleh Maryam.

Malaysia seakan mampu bangkit lima minit kemudian apabila jaringan Tegen Butler menggegar jaring Iran, namun malangnya gol tersebut dibatalkan kerana pertahanan negara itu berada di kedudukan offsaid.

PERTAHANAN Negara, Tegen Butler gagal menjaringkan gol ketika mengambil sepakan penalti pada aksi menentang Iran pada perlawanan Kumpulan F Kelayakan Asia Wanita B-20 di Stadium Kuala lumpur di sini, hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK

Bersambung babak kedua, skuad negara berpeluang merapatkan kedudukan susulan dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-49 namun Atena sekali lagi menjadi penghalang apabila berjaya menepis keluar sepakan yang diambil oleh Butler.

Selain kekentalan benteng lima pertahanan yang diterapkan Iran, kelemahan penyudah serta persembahan longgar beberapa pemain negara turut menyumbang kepada kegagalan mencipta jaringan dan dibolosi.

Tatkala masa hampir tamat, Iran memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka apabila Asal Ghajarian menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan, sekaligus menamatkan sisa-sisa harapan skuad muda negara.

Walaupun keputusan tersebut mengecewakan, tetapi aksi yang ditampilkan skuad B-20 wanita negara khususnya dalam mencipta peluang menunjukkan ada potensi besar yang boleh digilap.

Dalam satu lagi aksi kumpulan sama di sebelah petang menyaksikan Jepun tidak berdepan masalah menewaskan Guam 5-0.-UTUSAN