Jualan sektor pembuatan berkembang 3.3 peratus pada Jun 2025

Perniagaan

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 3.3 peratus  tahun ke tahun, berbanding 2.4 peratus pada Mei lalu, berjumlah RM161.2 bilion pada Jun 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan nilai jualan dalam sektor itu disumbangkan terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau, kekal pertumbuhan dua angka dengan peningkatan 14.7 peratus pada Jun 2025 berbanding 13 peratus pada bulan sebelum.

“Pertumbuhan ini juga disokong oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam, masing-masing meningkat sebanyak 4.5 peratus (Mei 2025: 4.4 peratus) dan 3.0 peratus (Mei 2025: 3.7 peratus).

“Pada masa yang sama, nilai jualan meningkat 1.6 peratus, mencapai RM161.2 bilion berbanding RM158.6 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang mewakili 72.5 peratus daripada jumlah jualan, tumbuh 2.4 peratus pada Jun 2025 berbanding 2.1 peratus pada Mei.

“Prestasi ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan sebanyak 15.9 peratus berbandinf 14.1 peratus berbanding 14.1 peratus pada Mei.

“Sementara itu, pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal berkembang sebanyak 3.8 peratus berbanding 4.2 peratus pada Mei dan pembuatan jentera dan peralatan t.t.t.l. meningkat sebanyak 10.5 peratus berbanding 7.7 peratus pada Mei.

“Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport melonjak kepada 4.1 peratus berbanding -0. 4 peratus pada Mei,” katanya.

Beliau berkata, industri berorientasikan domestik turut melonjak sebanyak 5.6 peratus pada Jun 2025, selepas peningkatan 3.0 peratus pada Mei 2025.

“Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam pembuatan produk pemprosesan makanan pada 14 peratus pada Jun 2025 berbanding 12.8 peratus pada Mei serta dalam industri pembuatan logam asas (6.2 peratus) dan pembuatan produk logam kecuali mesin dan kelengkapan (2.2 peratus).

“Walau bagaimanapun, industri berorientasikan domestik susut 4.4 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Mengulas mengenai bilangan pekerja, beliau berkata, sejumlah 2.39 juta orang pekerja direkodkan dalam sektor ini pada Jun 2025, bertambah sebanyak 1.0 peratus berbanding 0.9 peratus pada Mei.

“Pertambahan ini dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (2.2 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.3 peratus) dan peralatan elektrik dan elektronik (1.1 peratus).

“Berasaskan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor ini berkurang sebanyak 0.3 peratus,” katanya. – UTUSAN