AIA Public Takaful agih lebihan tertinggi RM84 juta

Perniagaan

PETALING JAYA: AIA Public Takaful Bhd. mengumumkan agihan lebihan tertinggi berjumlah RM84 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Jumlah itu meningkat 19 peratus berbanding RM70.7 juta pada tahun sebelumnya dan memberi manfaat kepada kira-kira 617,000 pemegang sijil.

Agihan itu juga merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan oleh pengendali takaful tersebut setakat ini.

AIA Public Takaful berkata, prestasi kukuh itu mencerminkan kualiti portfolio sijil aktif syarikat serta strategi membina tenaga agensi yang produktif dan profesional.

“Disokong oleh kedudukan AIA sebagai syarikat Million Dollar Round Table (MDRT) nombor satu di Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut, pencapaian ini membuktikan kekuatan agensi kami.

“Pemegang sijil yang layak telah dimaklumkan mengenai agihan tersebut secara berperingkat bermula Julai lalu melalui surat, emel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi AIA+,”katanya dalam kenyataan.

Jumlah lebihan bagi sijil yang masih berkuat kuasa telah dikreditkan ke dalam Dana Pelaburan Peserta atau Akaun Peserta pada Jun 2025, mengikut terma dan syarat sijil masing-masing.

Pelanggan yang belum menerima notifikasi diminta menghubungi perancang hayat atau talian khidmat pelanggan AIA Public Takaful di 1300888922.

Selaras prinsip takaful yang berlandaskan sokongan bersama, pelanggan juga diberi pilihan untuk mendermakan lebihan kepada badan kebajikan.

AIA Public Takaful berkata, bagi tahun kewangan 2024, hampir 11,000 pemegang sijil memilih untuk menyumbangkan lebihan mereka kepada Tabung Amal Penyala Harapan AIA PUBLIC Takaful.

“Sumbangan tersebut berjumlah RM2.53 juta, meningkat 15 peratus berbanding RM2.2 juta pada 2023.

“Penyertaan yang meningkat itu mencerminkan komitmen pelanggan dalam memperkasa komuniti dan menyokong inisiatif amal.

“Lebihan takaful ialah ciri unik yang ditentukan dan diisytiharkan oleh pengendali takaful, jika ada, berdasarkan lebihan dalam Dana Risiko Peserta selepas ditolak tuntutan, rizab berkanun dan keperluan modal.

“Agihan dibuat setiap tahun secara saksama kepada peserta yang layak, dengan syarat sijil masih berkuat kuasa dan tiada tuntutan dibuat sepanjang tahun,” katanya. – UTUSAN