ISKANDAR PUTERI: Rekod kemenangan perlawanan Piala Sumbangsih sejak 2018 hingga tahun lalu yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak melunturkan semangat Selangor FC untuk mengintai peluang untuk mencipta kejutan.
Kapten, Nooa Laine berkata, apa yang lebih penting bagi skuad Gergasi Merah itu adalah memberi tumpuan terhadap kekuatan pasukan bagi meraih keputusan positif pada perlawanan itu.
Katanya, kehadiran beberapa pemain import baharu musim ini diharap mampu menjadikan pasukan lebih kuat untuk menyaingi kehebatan JDT.
“Kita sedia maklum kekuatan dimiliki JDT yang dibarisi ramai pemain berkualiti, tambahan pula mereka cukup bertenaga apabila beraksi di laman sendiri.
“Walau bagaimanapun, pasukan kita juga tidak kurang hebatnya dengan kehadiran beberapa muka baharu, harap mereka dapat menyesuaikan diri dan memberi nilai tambah bagi pasukan.
“Jadi, kita akan berikan yang terbaik dan tentangan hebat terhadap pasukan tuan rumah pada perlawanan itu,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Ditanya mengenai kelibat pemain warisan yang menyertai JDT, Laine berkata, mereka merupakan watak penting Harimau Selatan yang perlu diberikan tumpuan pada perlawanan tersebut.
Katanya, Hector Hevel, Joao Figueredo, Jon Irazabal dan Nacho Mendez yang baharu menyertai JDT musim ini akan memberi ‘masalah’ kepada skuad Selangor.
“Saya pernah bersama mereka ketika di kem Harimau Malaya dan kualiti yang dimiliki cukup baik, tambahan pula mereka pernah menimba pengalaman di Eropah.
“Peluang bersama mereka juga boleh digunakan untuk beri kelebihan bagi pasukan supaya kita dapat baca permainan mereka dan tahu untuk mengekang pergerakan masing-masing,” katanya.-UTUSAN