Tujuh bekas pemain KDA perkuat Imigresen FC

Sukan

ALOR SETAR: Tujuh bekas tonggak utama pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC memperkuat cabaran skuad Imigresen FC (IFC) yang beraksi dalam Liga Super Musim 2025/2026.

Mereka antaranya Rizal Ghazali; Abdul Halim Saari; Fayadh Zulkifli; Fadzrul Danel Nizam; Loqman Hakim Marzuki; Heshamudin Ahmad dan Mohamad Al Hafiz Harun.

Pemain-pemain itu bakal bergandingan dengan enam tonggak import yang dibariskan IFC iaitu Rafael Iserhard dan Joao Pedro dari Brazil; Eduardo Jose (Venezuela); Elvis Kamsoba (Australia); Amirali Chegini (Iran) serta Thiha Zaw (Myanmar).

Turut disenaraikan dalam skuad kendalian Yusri Che Lah itu ialah bekas penjaga gawang Sri Pahang FC, Zarif Irfan Hashimuddin yang juga anak jati Kedah.

Sementara itu, Yusri mengakui tugas berat menantinya untuk membentuk persefahaman antara pemain kerana hanya mempunyai masa kira-kira tiga minggu sebelum sepak mula aksi pembukaan dengan Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Katanya, beliau tidak mahu menjadikan faktor pasukan baharu sebagai alasan sebaliknya mahu membalas kepercayaan diberikan pihak pengurusan untuk mengemudi skuad Mighty Tigers.

“Secara realisitiknya IFC baru bermula tapi itu bukan alasan, cuma kita perlukan masa selepas bersama baru minggu ketiga dan akan jumpa Kuala Lumpur hujung minggu ini. Saya harap semua memahami keadaan kami tapi walau apa pun kami dalam mood positif ditambah kehadiran pemain import.

“Sudah pasti untuk dapat persefahaman antara pemain mengambil masa cuma saya harap pemain yang ada dapat berikan komitmen terbaik, majoriti pemain dah pernah beraksi dalam Liga Super termasuk Joao Pedro,” katanya.

Mengulas bayangan kesebelasan utama yang akan diturunkan, Yusri berkata, percaturan itu sudah direncanakannya, namun peluang semua pemain untuk merebut tempat masih terbuka.

Katanya, IFC juga tiada masalah untuk menurunkan keenam-enam pemain import yang dimiliki namun isu kecergasan yang mungkin menjadi pertimbangan kerana ada antara mereka mengharungi perjalanan panjang sehingga 48 jam untuk tiba ke Malaysia.

“Mereka juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di negara kita khususnya di kawasan utara ini, selain kekangan bahasa melibatkan Rafael yang tidak boleh berbahasa Inggeris,” katanya.

Bagaimanapun, bekas pengendali Perak FC itu yakin skuad IFC mampu memberi saingan baik kepada pasukan ternama lain untuk sekurang-kurangnya berada di kelompok pertengahan carta Liga Super bagi musim pertama.

“Saya juga mungkin akan kurang menghadapi tekanan dari sudut peminat dan penyokong kerana IFC berstatus kelab yang kita tahu fan base tidak seperti semasa saya di Perak dan Kelantan, namun ianya bukan tiket untuk saya rasa selesa kerana cabaran selaku jurulatih tetap ada,” katanya.-UTUSAN