KUALA LUMPUR: Saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dijangka lebih terbuka selepas juara keseluruhan musim lalu, Max Poole tidak disenaraikan oleh Team Picnic PostNL dalam perlumbaan kali ini.
Bagaimanapun, pasukan World Team dari Belanda itu tetap membariskan pelumba terbaik pada edisi kali ini dengan mempertaruhkan pakar pecut handalan, Fabio Jakobsen untuk mencabar kejuaraan.
Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Arrifin Mohd Ghani, berkata, ketiadaan Poole menyaksikan saingan sengit dan terbuka memandangkan LTdL 2025 disertai nama-nama besar lain.
“Ketiadaan Max Poole, jika disahkan mungkin mengubah strategi banyak pasukan kerana kejuaraan individu kini lebih terbuka.
“Kehadiran nama-nama elit seperti Alexander Kristoff (bekas Quick-Step), dan Alberto Dainese (Tudor) dijangka menghangatkan lagi pentas saingan,” kata Arrifin dalam sidang media pengumuman pasukan LTdL 2025.
Saingan LTdL yang bermula 28 September hingga 5 Oktober depan menyaksikan penyertaan tiga pasukan World Team, termasuk XDS Astana Team (Kazakhstan), Cofidis (Perancis) dan Team Picnic PostNL, bersama lapan pasukan ProTeam serta 11 pasukan lain yang terdiri daripada pasukan benua dan skuad kebangsaan Malaysia.
“Ini satu penghormatan besar buat LTdL apabila pasukan-pasukan dari jelajah Grand Tour menyertai kejohanan ini. Ia bukan sahaja menaikkan reputasi perlumbaan, malah memberi pendedahan bernilai buat pelumba tempatan kita,” katanya.
Walaupun tiada pendakian Hors ke Genting Highlands buat kali kedua berturut-turut, peringkat-peringkat seperti Gerik-Pasir Puteh (Peringkat 3) dan Temerloh-Bukit Fraser (Peringkat 5) dijangka menjadi medan penentuan utama perebutan jersi Raja Bukit dan klasifikasi individu keseluruhan.
Peringkat 7 sejauh 214.6km dari Melaka ke Medini bakal menjadi ujian ketahanan, manakala pentas penutup Tangkak-KLCC sejauh 180km dijangka penuh dramatik dengan perebutan saat akhir.
“Walaupun belum semua pasukan mengesahkan barisan enam pelumba mereka, kita percaya setiap pasukan akan tampil dengan kekuatan terbaik. LTdL kekal antara pentas paling kompetitif di Asia,” katanya.
Antara pasukan ProTeam yang turut serta ialah Total Energies, Tudor Pro Cycling Team, Uno-X Mobility, Burgos-BH, serta pendatang baharu dari Perancis, Unibet Tietama Rockets.
Dua wakil tempatan iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) bersama skuad kebangsaan, menggalas cabaran negara dalam edisi ke-28 ini, manakala pasukan dari China, Chengdu DYC, akan membuat penampilan sulung mereka.
Dengan senarai pelumba elit dunia, ketiadaan juara bertahan seperti Poole, dan format laluan yang seimbang antara cabaran mendaki dan pecutan, edisi LTdL kali ini dilihat lebih terbuka malah lebih sukar untuk diramal.-UTUSAN