Yang Dipertua Dewan Rakyat sedia semak usul Muhyiddin

Politik

CYBERJAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau bersedia menyemak sebarang usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya beliau mahu merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Beliau bagaimanapun menegaskan, setakat ini tiada permohonan atau dokumen rasmi diterima pejabat beliau berhubung isu dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa Muhyiddin mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Beliau berkata, prosedur dan amalan biasa Dewan Rakyat akan diikuti sekiranya sesuatu bahan dihantar untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini belum terima apa-apa lagi (usul daripada Muhyidddin). Kalau ada apa-apa juga yang dihantar kepada saya.

“Insya-Allah saya akan lihat dan mengambil tindakan selanjutnya seperti yang termaktub dalam peraturan sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menghadiri sambutan Hari ASEAN 2025 di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN semalam meminta Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun meminta maaf kepadanya ekoran dakwaan Perdana Menteri bahawa Muhyiddin mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Kata Muhyiddin, beliau akan membuat usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika tidak memohon maaf.

Semalam, Perdana Menteri mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Pagoh berhubung perkara itu dengan menegaskan bahawa sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, tindakan sewajarnya perlu diambil berhubung perkara berkenaan memandangkan dakwaan itu dinafikan Muhyiddin.

Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.

Anwar berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapakah Ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.  – UTUSAN