Mboko lakar kejutan rangkul kejuaraan Terbuka Kanada

Sukan

MONTREAL: Pemain remaja Kanada, Victoria Mboko mencipta sensasi apabila menewaskan juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka 2-6, 6-4, 6-1 dalam final Terbuka Kanada untuk merangkul gelaran Persatuan Tenis Wanita (WTA) pertama dalam kariernya.

Mboko, 18, yang memulakan musim di luar kelompok 300 terbaik dunia dan kini menduduki ranking ke-85, bakal melonjak ke kedudukan ke-34 selepas menamatkan minggu luar biasa dengan kemenangan ke atas empat bekas juara utama.

“Saya rasa sukar nak gambarkan perasaan ini, tetapi detik kemenangan itu sangat luar biasa, terutama apabila melihat ribuan penonton berdiri dan bersorak untuk saya.

“Saya tak sangka ia berlaku secepat ini, tapi saya percaya ini bukti bahawa impian sebenarnya lebih dekat daripada yang kita sangkakan,” kata Mboko.

Penuh yakin di set pertama, Osaka, 27, yang kembali selepas cuti bersalin pada awal 2024, menampilkan aksi dominan namun dilihat hilang rentak selepas ditewaskan dalam set kedua yang penuh dengan tujuh kali pertukaran servis.

Mboko pula bangkit dengan tekanan demi tekanan, memaksa Osaka melakukan kesilapan demi kesilapan, termasuk dipotong pada servis sendiri tiga kali dalam set penentuan.

Walaupun melakukan 13 kesalahan berganda sepanjang perlawanan, semangat juang tinggi Mboko menjadi pemisah, apatah lagi selepas menyelamatkan empat mata pecah untuk mendahului 3-1 dalam set terakhir.

Osaka, yang hadir ke Montreal dengan semangat baharu selepas perubahan jurulatih, kelihatan kecewa hingga tidak mengucapkan tahniah kepada Mboko semasa penyampaian trofi. – AGENSI