PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan MUFG Bank (Malaysia) Berhad dalam usaha memperkukuh aliran masuk pelaburan bernilai tinggi ke negara ini.
Ia khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, bahan kimia khas, aeroangkasa, farmaseutikal, peranti perubatan, kenderaan elektrik (EV), sektor digital dan teknologi hijau.
Kerjasama itu turut disifatkan sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau, sekali gus menyokong agenda transformasi ekonomi negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diumumkan baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kerjasama itu bakal memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Jepun melalui pemerkasaan pelaburan dua hala dan pewujudan lebih banyak kerjasama strategik antara syarikat kedua-dua negara.
“MoU ini akan menggalakkan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi menerusi rangkaian dan ekosistem perniagaan sedia ada. MIDA dan MUFG akan turut bekerjasama menganjurkan pelbagai program libat urus serta promosi untuk menarik minat pelabur Jepun ke Malaysia.
“Usaha ini sejajar dengan komitmen kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan industri secara mampan serta menjana kemakmuran bersama antara Malaysia dan Jepun,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Negara MUFG Bank (Malaysia), Motohide Okuda berkata, MoU tersebut mencerminkan visi bersama dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pelaburan masuk yang berkualiti tinggi oleh syarikat Jepun dan global.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama rapat dengan MIDA dalam menyumbang kepada pembangunan mampan dan kejayaan jangka panjang Malaysia.
“Kami juga menghargai sokongan berterusan daripada Datuk Sikh Shamsul, khususnya menerusi platform lain seperti MUFG NOW (Net Zero World) di Sarawak pada 20 Mac lalu serta Seminar Semikonduktor MUFG di Pulau Pinang pada 29 Julai lalu.
“Pandangan beliau amat membantu dalam memperjelas landskap pelaburan Malaysia yang sedang berkembang serta memperlihatkan bagaimana kerjasama awam-swasta mampu memacu pertumbuhan inklusif dan membina ekonomi yang berdaya tahan serta bersedia menghadapi masa depan, sejajar dengan keutamaan negara,” ujarnya. – UTUSAN