KOTA BHARU: Jaguh Muay Thai Thailand, Tawanchai PK Saenchai sedia kembali ke gelanggang arena One Championship pada bila-bila masa dalam misi mempertahankan gelaran Juara Dunia One Muaythai kategori ‘featherweight’.
Tawanchai berkata, kekalahan mengejut kepada jaguh Jepun, Masaaki Noiri dalam perebutan gelaran Juara Dunia Interim ONE Kickboxing awal Mac lalu sama sekali tidak menggugat keyakinannya untuk kembali semula ke atas gelanggang.
“Sebagai petarung, saya yakin sentiasa berusaha untuk kekal berada di puncak prestasi dan bersedia untuk bertarung semula pada bila-bila masa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum itu, pada Januari lalu, Tawanchai berjaya mempertahankan kejuaraan tersebut dengan mengalahkan seteru senegaranya, Superbon Singha Mawynn yang juga Juara Dunia One Kickboxing kategori ‘featherweight’ dalam pertarungan utama One 170.
Dalam perkembangan lain, Tawanchai menafikan kemungkinan dia akan berentap jaguh muaythai negara ini iaitu Johan Ghazali berikutan kategori berat dan saiz badan antara mereka jauh berbeza.
“Saya tidak fikir akan berlaku pertarungan antara saya dan Johan kerana kami dari dua kategori berat badan yang berbeza dan saiz badannya lebih kecil berbanding saya.
“Saya serah kepada ONE Championship untuk menentukan lawan saya seterusnya. Jika mereka memerlukan saya bertarung dengan Johan, mungkin saya sedia melakukannya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, jaguh muaythai Thailand itu memberitahu, ini merupakan kali pertama beliau datang ke Malaysia dan Kelantan dengan tujuan menyokong kesemua individu yang bakal bertarung pada kejohanan amatur terbuka di Pantai Irama, Bachok, bermula esok sehingga Sabtu ini.
Katanya, dia melihat perkembangan positif perkembangan sukan muaythai di Malaysia dan menjangka suatu perkembangan besar dalam sukan tersebut bakal dilihat dalam negara ini. – UTUSAN
“Saya rasa kita semua akan dapat melihat satu perkembangan yang besar terhadap sukan muaythai di Malaysia kerana anda mempunyai petinju-petinju yang bagus termasuk mereka yang bertarung di bawah ONE Championship,” ujarnya.