Tunggakan gaji Liga M sukar dihapus

Sukan

PETALING JAYA: Isu tunggakan gaji pemain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sukar untuk dihapuskan sepenuhnya, namun masih boleh dibendung sekiranya pengurusan kelab lebih bertanggungjawab.

Pemangku Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Razman Roslan berkata, masalah tunggakan gaji saban tahun membelenggu bola sepak tempatan dan mustahil untuk lenyap sepenuhnya.

Kata bekas Kapten Sri Pahang dan Selangor FC itu, semua kelab perlu lebih bertanggungjawab bagi mengelak isu tunggakan gaji terus membarah dalam kancah Liga M dan kes-kes yang berlaku sebelum ini perlu dijadikan pengajaran.

Menurut Razman, bagi membasmi isu berkenaan daripada terpalit kepada mana-mana pasukan, langkah awal perlu diambil sebelum musim bermula bagi mengelak tunggakan berlarutan sehingga berbulan-bulan.

“Kita semua tahu masalah gaji ini memang berulang setiap tahun. Mustahil nak kata langsung tak akan berlaku. Tapi kalau boleh, biarlah ia tidak sampai 4-5 bulan gaji tertunggak.

“Kuncinya adalah pengurusan kelab perlu menilai bajet sebenar dan kemampuan kewangan sebelum liga bermula. Jangan ambil pemain melebihi kemampuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, langkah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengawal bajet kelab dan menyediakan tabung khas merupakan inisiatif baik yang diharap mampu memberi impak positif kepada kestabilan kewangan pasukan.

Razman turut menyambut baik kemeriahan musim baharu Liga M dengan kemunculan pasukan baharu dan kemunculan semula Melaka FC, selain kehadiran wakil Brunei iaitu DPMM FC.

Beliau juga teruja melihat persaingan lebih sengit berlaku di peringkat domestik dan tidak hanya dikuasai Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Sudah tentu kita mahu lihat pasukan seperti KL City, Kuching City dan Selangor memberi cabaran kepada JDT, selain munculnya pemain muda yang menyerlah,” ujarnya.

Isu tunggakan gaji dan pengurusan kelab pada musim lalu menyaksikan beberapa pasukan lenyap daripada saingan Liga Super musim 2025/2026 seperti Perak FC, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.-UTUSAN