Gol awal ‘bunuh’ Selangor FC

Sukan

JOHOR BAHRU: Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menyifatkan gol seawal minit pertama ‘menghancurkan’ perancangannya apabila menyaksikan Gergasi Merah tumbang 0-3 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Sumbangsih, kelmarin.

Jurulatih kelahiran Jepun itu berkata, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku sekiranya pemain memberikan konsentrasi penuh di atas padang sebaik wisel pertama ditiupkan.

“Perkara seperti ini sepatutnya boleh dielakkan sekiranya pemain tidak hilang tumpuan sebaik sepak mula, lebih-lebih lagi berdepan pasukan yang hebat seperti JDT di mana mereka menghukum kesalahan itu.

“Ini perkara asas dalam bola sepak, kita tidak boleh leka di atas padang. Jadi, sekiranya kita biarkan ia terus berlaku, kita tidak mungkin akan bergelar juara,” katanya.

Untuk rekod, kemenangan itu membolehkan JDT merangkul Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali kelapan berturut-turut.

Kinoshi, 60, berkata, Gergasi Merah cuba untuk bangkit pada perlawanan itu namun jurang antara kedudukan pasukan membataskan hasrat pasukan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata.

Jelasnya, anak buahnya mampu merencana beberapa peluang namun ia tidak berjaya diterjemahkan sebaiknya yang menyaksikan gawang JDT tidak dibolosi.

Tambahnya, pemain perlu berlatih lebih ‘keras’ lagi yang mana bukan sahaja untuk meningkatkan keupayaan fizikal malah memperbaiki kualiti diri sekiranya mahu menyaingi JDT.

“Tidak dinafikan terdapat jurang besar antara kedua-dua pasukan. Jika kita lihat pemain JDT, mereka tahu bila perlu mengubah rentak, bila masanya untuk menggelecek, perkara kecil seperti ini yang memberi kesan besar pada perlawanan.

“Jadi, ini adalah yang perlu dicontohi, pendekatan seperti ini yang perlu kami ambil untuk menjadi pasukan yang kuat seperti mereka.

“Apa pun, saya tetap berbangga dengan pemain kerana mereka mempamer motivasi tinggi walaupun setelah ketinggalan pada perlawanan itu. Masih ada ruang untuk diperbaiki,” ujarnya.-UTUSAN