Saya bekerja keras setiap masa- Arif Aiman

Sukan

JOHOR BAHRU: Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi tidak gentar dengan kehadiran pemain baharu, malah bersedia bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Pemain paling bernilai (MVP) musim lalu itu percaya persaingan sihat dalam kalangan pemain akan menguntungkan pasukan setelah mereka memberikan aksi terbaik bagi meningkatkan prestasi masing-masing.

Katanya, perkara tersebut bukanlah asing bagi dirinya setelah hampir saban tahun skuad Harimau Selatan memperkuatkan bahagian jentera serangan dengan membawa masuk pemain import baharu.

“Setiap tahun, saya buat persiapan dengan serius sebelum musim bermula kerana cabarannya adalah berbeza setiap tahun, ini adalah peluang baharu bagi saya.

“Justeru, saya kena bekerja keras setiap masa untuk tempat dalam pasukan. Kedatangan pemain baharu banyak membantu pasukan dan JDT semakin lama semakin kuat,” katanya.

Pada perlawanan Sumbangsih, kelamrin, Arif Aiman membantu JDT menewaskan Selangor FC 3-0 dengan meledak gol ketiga perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, pemain berusia 23 tahun itu berkata, setiap pemain tidak boleh berputus asa dan sentiasa berusaha mencari ruang untuk mengubah kedudukan perlawanan.

“Ketua jurulatih juga banyak membantu dengan menekankan aspek teknikal, walaupun ia nampak mudah namun ia memberi kesan kepada keseluruhan persembahan pasukan.

“Dalam bola sepak, ada masa kita ‘struggle’, ada masa senang. Tapi saya akan terus belajar dan ambil peluang, tak kira lawan kuat atau lemah,”katanya.

Tambahnya, gandingan bersama penyerang import baharu, Jairo Da Silva membuka dimensi baharu buat dirinya jika dibandingkan dengan peledak berbisa JDT, Bergson Da Silva.

“Setiap pemain ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Dalam pramusim, kami banyak kali digandingkan bersama, jadi saya rasa lama-kelamaan kami dapat cipta keserasian,” katanya.-UTUSAN