PETALING JAYA: CTOS SME Biz Day 2025 julung kalinya dianjurkan di Sarawak bagi memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui perkongsian ilmu, alatan digital dan jaringan strategik yang mampu membuka potensi penuh perniagaan mereka.
CTOS SME Biz Day komited untuk membantu PKS mengatasi rintangan yang sering dihadapi mereka seperti bantuan dana, kelemahan dalam kemahiran digital dan memahami garis panduan perniagaan yang rumit.
Melalui bimbingan pakar, perkongsian maklumat geran kerajaan, dan latihan pembangunan perniagaan yang menyeluruh, program ini akan membuka laluan baharu kepada pertumbuhan dan inovasi.
Di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030, negeri ini menyasarkan 80 peratus digitalisasi dalam kalangan PKS dan usahawan mikro menjelang akhir dekad, dengan sumbangan sebanyak RM56.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri menerusi aktiviti perniagaan.
Ketua Pegawai Operasi, CTOS Data Systems Sdn. Bhd., Lee Shin Mei berkata, lebih 74,000 PKS di seluruh negeri dan hampir 40 peratus sedang memulakan transformasi digital, CTOS SME Biz Day hadir pada waktu yang tepat untuk memacu momentum ini.
“Kuching ialah hab yang sedang pesat membangun, terutamanya dalam sektor PKS dan eksport. Penganjuran SME Biz Day di sini mencerminkan komitmen kami untuk terus menyokong pertumbuhan di wilayah yang strategik ini. Dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Johor dan kini Sarawak, CTOS bekerjasama rapat dengan rakan kongsi yang percaya bahawa PKS adalah tulang belakang ekonomi.
“Bersama kita membina ekosistem yang saling berhubungan, yang menyediakan alatan, ilmu dan sokongan untuk PKS berkembang dengan yakin. CTOS berbangga bukan sahaja sebagai penyedia solusi, tetapi juga rakan kongsi jangka panjang dalam transformasi digital,” katanya dalam kenyataan.
Program itu berlangsung pada 19 Ogos 2025 di Hotel Imperial Kuching dan dijangka menjadi pemangkin pada pertumbuhan dan daya tahan perniagaan.
Melalui sesi panel dan solusi digital terkini, acara ini akan membimbing usahawan dalam memanfaatkan geran kerajaan serta peluang pembangunan yang ditawarkan oleh agensi utama seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Mdec), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (Sdec) dan SME Corp. Malaysia.
CTOS SME Biz Day berperanan merapatkan jurang kesedaran, terutamanya dalam kalangan PKS di luar bandar yang masih belum mengetahui di mana dan bagaimana untuk mengakses sokongan yang tersedia.-UTUSAN