Dasar proaktif kerajaan dorong pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui 

Perniagaan

PETALING JAYA: Prospek sektor utiliti dan tenaga boleh diperbaharui (RE) diunjur positif didorong dasar kerajaan serta gelombang inisiatif infrastruktur baharu, kata MBSB Research.

Katanya, dengan sasaran peralihan tenaga di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menetapkan campuran tenaga boleh diperbaharui sebanyak 70 peratus menjelang 2050, momentum dijangka terus meningkat menerusi pelaburan awam dan swasta.

“Kami melihat solar kekal sebagai enjin pertumbuhan untuk beberapa tahun akan datang, yang akan memberi manfaat kepada syarikat kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) seperti Solarvest Holdings Bhd., Samaiden Group Bhd, Pekat Group Bhd, Sunview Group Bhd dan Northern Solar Holdings Bhd.,” katanya dalam satu nota kajian.

MBSB Research menekankan, kerajaan sedang bersedia untuk melancarkan program solar berskala besar kelima (LSS5), yang dikenali sebagai LSS Petra 5+, pada separuh kedua tahun kewangan 2025.

Program itu akan memperkenalkan kapasiti tambahan sebanyak dua gigawatt (GW) menerusi projek solar berasaskan darat dan solar terapung.

“Selepas itu, kami menjangkakan Suruhanjaya Tenaga (ST) akan mengumumkan pembukaan bidaan bagi LSS6, yang berkemungkinan akan memperkenalkan tambahan 2GW kapasiti solar dengan keperluan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS),” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan kumulatif tenaga solar yang dijangkakan telah digambarkan sebagai signifikan.

“Kami sebelum ini menganggarkan tenaga solar akan menjadi semakin dominan, merangkumi 25 peratus, 39 peratus,52 peratus, 58 peratus daripada campuran kapasiti pada tahun 2035, 2040, 2045, 2050 masing-masing, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 14 peratus antara 2025 hingga 2050,” katanya.

Selain tenaga solar, kapasiti penjanaan elektrik berasaskan gas di Malaysia turut menerima suntikan baharu.

Permintaan untuk cadangan (RFP) yang dilancarkan baru-baru ini bagi loji janakuasa gas baharu bertujuan menyediakan sekitar lapan gigawatt (GW) kapasiti melalui dua saluran iaitu lanjutan perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang akan tamat tempoh dan pembangunan loji baharu.

“Permintaan RFP terkini bagi kapasiti penjanaan kuasa gas baharu juga merupakan pemangkin positif untuk sektor ini.

“Kami menjangkakan pengeluar kuasa bebas seperti Malakoff Corp Bhd. dan YTL Power International Bhd. akan menjadi antara calon utama bagi skim baharu ini.

“Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menjadi penerima manfaat utama dalam pemilikan aset hasil daripada peluasan kapasiti tenaga boleh diperbaharui dan pelaburan naik taraf grid,” katanya.- UTUSAN