Demi untung, risiko ditanggung penyewa

Perniagaan

DEMI mengaut keuntungan berganda, segelintir pemilik rumah kini sanggup mengubah suai unit kediaman mereka secara melampau dan memasang pembahagi dinding (partition) bagi disewakan kepada penyewa pada kadar RM500 hingga RM800 sebulan.

Isu ini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan dari aspek keselamatan dan kesihatan penghuni, malah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemilik rumah lain yang menganggap tindakan itu tidak bertanggungjawab.

Bekas pemilik rumah sewa, Rashidah Mohd Rahim @ A Rahim, 50, berkata, pengubahsuaian melampau seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia menjadikan penyewa seolah-olah tinggal dalam stor, bukan rumah.

“Kalau saya sebagai penyewa, saya tak akan sewa rumah macam itu. Rumah sepatutnya tempat berehat selepas penat bekerja. Tapi bila balik, tengok bilik sempit, duduk dekat balkoni, atau dapur dijadikan bilik, itu bukan rumah, itu macam stor.

“Ketika saya masih menyewakan rumah kepada wanita bujang dan keluarga kecil sekitar Lembah Klang sebelum ini, aspek keselesaan sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya pernah ubah suai sedikit bahagian bilik utama untuk dijadikan dua bilik, tapi saya pastikan masih selesa dan ada ruang yang cukup. 

“Tak pernah saya fikir nak bahagi sampai tujuh bilik atau jadikan ruang berhampiran balkoni sebagai tempat tidur,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Tambahnya, amalan menyewakan unit yang diubah suai secara ekstrem ini bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi pemilik rumah lain, tetapi turut membahayakan nyawa penghuni jika berlaku kebakaran atau kecemasan.

“Bayangkan jika berlaku kebakaran, bilik-bilik kecil yang dipisahkan secara tidak wajar atau pembahagi dipasang di tempat yang tidak sepatutnya boleh menjadi perangkap maut. 

“Jika kebakaran berlaku pada waktu malam, penyewa yang berada di bilik hujung atau ruang sempit tanpa tingkap mungkin tidak sempat keluar menyelamatkan diri. Ia bukan sahaja mengundang risiko kehilangan nyawa, malah menyukarkan operasi menyelamat oleh pihak bomba,” katanya.

Mengulas lanjut, Rashidah menyeru agar pemilik rumah lebih beretika dan tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira maruah dan kebajikan penyewa.

“Sewa ni bukan sekadar bisnes. Kita layan penyewa macam manusia, bukan macam barang. Jangan sebab nak untung lebih, sanggup bagi orang duduk dalam bilik macam kotak,” ujarnya.

Sementara itu, pekerja eksekutif di sebuah syarikat swasta, Siti Nurzakiah Muhammed Rashid, 25, yang sudah lebih dua tahun menyewa di Bandar Puchong Jaya, berkongsi pengalamannya mencari rumah sewa di kawasan bandar.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut beliau hanya berpindah sebanyak dua kali. 

Kali pertama, beliau memilih rumah yang terletak hanya lima minit berjalan kaki dari pejabat dengan kadar sewa RM700 seorang termasuk utiliti, hasil perkongsian bersama rakan serumah.

“Lokasi memang strategik, tapi selepas dua minggu masuk, masalah mula timbul. Mesin basuh rosak, sinki bilik air jatuh, mozek dapur pecah dan paip bocor di tempat tersembunyi sehingga bil air melambung tinggi. 

“Pemilik rumah mengaku pernah mengubah suai dua bilik air menjadi satu demi konsep ‘minimalis’, tapi rumah itu sudah lama tidak berpenghuni. Lebih mengecewakan, mesin basuh tidak dibaiki dan kami sendiri terpaksa mencari tukang paip,” katanya.

Mengulas lanjut, Siti Nurzakiah berkata, dirinya bersetuju peraturan lebih ketat perlu diperkenalkan bagi keadilan kepada penyewa dan pemilik rumah.

“Peraturan ini penting untuk memastikan rumah sewa selamat dan berkualiti, mengelakkan kerosakan, serta melindungi penyewa daripada kadar sewa bilik yang tidak munasabah. 

“Saya turut berharap kerajaan memastikan setiap rumah sewa memenuhi standard keselamatan dan kelengkapan asas, memantau kadar sewa agar berpatutan, serta menyediakan saluran aduan yang cepat dan berkesan bagi melindungi hak penyewa, khususnya golongan muda,” ujarnya. – UTUSAN