Kadar pengangguran Jun kekal 3.0 peratus

Perniagaan

PETALING JAYA: Kadar pengangguran negara kekal pada paras 3.0 peratus pada Jun 2025 dengan jumlah penganggur menurun kepada 518,700 orang berbanding 522,400 orang pada Mei lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh terus mempamerkan momentum pertumbuhan positif disokong perkembangan ekonomi negara serta peningkatan stabil dalam guna tenaga.

“Tenaga buruh meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 17.43 juta orang, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 70.8 peratus seperti Mei.

“Bilangan penduduk bekerja bertambah 0.3 peratus kepada 16.92 juta orang, manakala kategori pekerja kekal sebagai segmen terbesar (75.0 peratus) dengan 12.69 juta orang. Bilangan bekerja sendiri turut meningkat 0.6 peratus kepada 3.20 juta orang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan kekal mencatat pertambahan guna tenaga, terutamanya dalam perdagangan borong dan runcit, penginapan serta makanan & minuman dan maklumat & komunikasi.

“Sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga merekodkan peningkatan,” katanya.

Bagi kumpulan belia berumur 15 hingga 24 tahun, kadar pengangguran kekal pada 10.2 peratus (297,500 orang), manakala belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal pada 6.2 peratus (396,800 orang).

Jumlah penduduk di luar tenaga buruh menurun sedikit kepada 7.18 juta orang dengan alasan utama ialah kerja rumah atau tanggungjawab keluarga (43.7 peratus) dan bersekolah atau latihan (40.9 peratus).

Menurut kenyataan tersebut, bagi suku kedua 2025, tenaga buruh meningkat 0.8 peratus kepada 17.37 juta orang berbanding suku pertama, manakala bilangan penduduk bekerja naik 0.9 peratus kepada 16.85 juta orang.

“Bilangan penganggur menurun 1.0 peratus kepada 520,900 orang, sekali gus menurunkan kadar pengangguran kepada 3.0 peratus daripada 3.1 peratus sebelumnya.

“Putrajaya merekodkan kadar pengangguran terendah (1.4 peratus), diikuti Pahang (1.8 peratus) dan Selangor (1.9 peratus).

“Selangor turut mencatat KPTB tertinggi (78.0 peratus), diikuti Putrajaya (77.6 peratus) dan Kuala Lumpur (75.5 peratus),” katanya.

Beliau turut menjangkakan pasaran buruh kekal stabil dalam bulan-bulan mendatang didorong permintaan domestik, produktiviti lebih tinggi, peluang pekerjaan baharu dan pelaburan strategik. – UTUSAN