PETALING JAYA: Chery Group mencatatkan jualan mencecah 224,439 unit kenderaan, meningkat 14.7 peratus pada Julai berbanding tempoh sama tahun lalu.
Syarikat itu berkata, angka itu merangkumi 65,357 kenderaan tenaga baharu (NEV), meningkat 44.1 peratus tahun ke tahun.
“Eksport pula melonjak 31.9 peratus kepada 119,090 unit, sekali gus mengukuhkan kedudukan Chery sebagai pengeksport automotif nombor satu China.
“Momentum ini mencerminkan kejayaan pelaksanaan ‘Empat Strategi Pembangunan’ Chery iaitu pematuhan peraturan, penyetempatan produk, peningkatan daya saing dan pembezaan pasaran.
“Strategi ini mendorong pertumbuhan kukuh di pasaran antarabangsa utama termasuk Brazil, Australia, Afrika Selatan, Malaysia dan Sepanyol, dengan jualan di Brazil kini melebihi 6,000 unit sebulan manakala Australia mengekalkan kira-kira 3,000 unit setiap bulan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, Chery merekodkan jualan bersejarah sebanyak 1,484,563 unit kenderaan, meningkat 14.5 peratus tahun ke tahun, dengan eksport mencecah 669,360 unit.
Menurutnya, jualan NEV turut melonjak 87.7 peratus tahun ke tahun kepada 424,737 unit, sekali gus tersenarai antara yang terpantas berkembang dalam industri global.
“Pangkalan pelanggan Chery di seluruh dunia kini melebihi 17.18 juta, termasuk lebih 5.17 juta pemilik di luar negara.
“Pada Julai, Chery turut mencapai pencapaian bersejarah ‘Double 500’ apabila menjadi pengeluar automotif yang meningkat paling pantas dalam senarai Fortune Global 500 dan Fortune China 500.
“Chery kini berada di kedudukan ke-233 di peringkat global, meningkat daripada tangga ke-385 pada 2024 dan ke-59 di China menunjukkan peningkatan daripada tangga ke-100 pada 2024.
“Cherry juga menjadi jenama automotif China pertama yang melepasi 5 juta eksport kenderaan kumulatif di seluruh dunia,” ujarnya.
Tambahnya, didorong komitmen terhadap pertumbuhan berkualiti tinggi jangka panjang, Chery terus memperkenalkan produk dan teknologi yang disesuaikan dengan permintaan global.
Katanya, ia sekali gus mencapai kejayaan dalam seni bina platform, enjin hibrid berkecekapan tinggi, sistem pemanduan elektrik, bateri dan antaramuka pintar termasuk Chery Super Hybrid (CSH) yang dibangunkan sendiri.
“Komitmen Chery terhadap keselamatan dipamerkan melalui Global Safety Challenge, satu siri ujian dunia sebenar yang ketat di lima negara.
“Perjalanan bermula di China dengan ujian ekstrem termasuk terbalik berpusing, pelanggaran dua kenderaan dan ujian dramatik tujuh kenderaan disusun secara menegak.
“Seterusnya di Indonesia, ujian rendaman bateri CSH dalam air laut selama 54 jam dilakukan, diikuti ujian geseran bateri di Mexico. Seterusnya, cabaran itu akan diteruskan di Brazil dan Afrika Selatan sebelum menutup misi setahun untuk menguji had keselamatan automotif,” katanya. – UTUSAN