Nasib baik hanya kalah 3-0

Sukan

GEORGE TOWN : “Kita bernasib baik kerana hanya tewas 3-0. Jika diikutkan, dengan segala kelekaan dan kesilapan mudah yang dibuat, kita seharusnya dihukum dengan jaringan yang lebih banyak. Ini ‘bad day’ (hari malang) untuk Penang FC.”

Itu kesimpulan yang dibuat oleh ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang, Wan Rohaimi Wan Ismail susulan persembahan longlai yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya ketika dimalukan Terengganu FC (TFC) 0-3 di Stadium Bandaraya, semalam.

Jelas Wan Rohaimi, meskipun beraksi baik pada separuh masa pertama, namun, Penang FC seperti kehilangan punca pada babak kedua sehingga membolehkan lawan merobek gawang mereka sebanyak tiga kali termasuk dua gol yang dijaringkan dalam tempoh lima minit sahaja.

“Apa yang kita rancang semasa sesi latihan nampaknya hanya berlaku pada separuh masa pertama sahaja.

“Sayangnya, ia (persembahan baik itu) tidak dapat dikekalkan untuk tempoh 90 minit pemainan,” katanya yang jelas kecewa dengan keputusan tersebut.

Sehubungan itu, Wan Rohaimi berkata, beliau dengan rela hati memohon maaf secara terbuka kepada semua penyokong skuad Harimau Kumbang kerana gagal menghadiahkan tiga mata pada aksi pertama musim ini di laman sendiri selepas tiga musim memulakan kempen di gelanggang lawan.

Bekas pemain kebangsaan berusia 49 tahun itu bagaimanapun berjanji bahawa pasukannya akan bangkit untuk mencari kemenangan pertama pada aksi kedua saingan Liga Super ke Stadium Hang Jebat menentang Melaka FC, Rabu ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua penyokong… 4,809 orang penyokong yang hadir membanjiri stadium keramat ini (Stadium Bandaraya).

“Kami akan bangkit pada perlawanan seterusnya dengan variasi yang berlainan dan dalam hal ini,” katanya.

Tambah beliau, Penang FC akan memanfaatkan tempoh masa yang ada untuk memperbetulkan segala kesilapan dalam perlawanan menentang TFC itu.

habis