KUALA LUMPUR: Malaysia mensasarkan 16 pingat emas dalam temasya Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia dari 20 hingga 26 Ogos ini sekali gus mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang diraih pada edisi sulung tiga tahun lalu.
Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) mengumumkan, kontinjen kali ini dibarisi 80 anggota termasuk 53 atlet dan 27 pegawai, manakala tuan rumah Indonesia tampil dengan 100 atlet.
Ketua Kontinjen, Sarkunan A/L Balakrishnan, berkata, sasaran kali ini meliputi satu emas futsal lelaki, enam emas olahraga, dua emas badminton, dua emas catur serta lima emas tenpin boling.
“Selain mempertahankan kejuaraan, kami mahu memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menghargai kemampuan komuniti pekak,” katanya pada sidang media di Wisma OCM, semalam.
Pada edisi 2022 di Kuala Lumpur, Malaysia muncul juara keseluruhan dengan 15 emas, mengatasi Indonesia (10), Singapura (6) dan Thailand (2).
Atlet lompat jauh dan lompat kijang, Zaiman Megat Abu dipilih membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan.
Pemenang emas 2022 itu turut meraih emas lompat jauh dan perak lompat kijang pada Sukan Pekak Asia Pasifik (APDG) 2023 di Kuala Lumpur, selain menjadi prospek pingat pada Deaflympics Tokyo, November ini.
Pasukan futsal lelaki yang mempertahankan emas 2022 sekali lagi menjadi taruhan, selain barisan olahraga yang dibarisi pemenang pingat antarabangsa.
Turut menjadi tumpuan ialah beregu badminton wanita, Boon Yee Wei Ying-Foo Zu Tung yang memenangi emas Deaflympics 2022 di Brazil dan Sukan SEA Pekak 2022, serta gangsa APDG 2023.
Beregu campuran Edmund Teo-Boon Wei Ying pula berazam memperbaiki pencapaian perak Deaflympics 2022 dan gangsa APDG 2023. – UTUSAN