PETALING JAYA: Kuala Lumpur dan Johor Bahru muncul di dalam senarai terkini Agoda bagi destinasi Asia paling popular dengan kunjungan berulang kali.
Senarai ini berdasarkan data tempahan bagi enam bulan pertama tahun ini dan 10 destinasi paling popular dengan jumlah pengunjung berulang kali paling tinggi.
Agoda berkata, Kuala Lumpur masih menjadi pilihan pelancong untuk kunjungan berulang kali kerana suasana gabungan kosmopolitan dan warisan budayanya yang unik.
Antara tarikannya termasuk pelbagai makanan yang memikat selera, pusat beli-belah bertaraf dunia, serta mercu tanda moden yang ikonik.
Johor Bahru pula semakin menyerlah sebagai destinasi santai, terutamanya dengan adanya pelbagai tarikan mesra keluarga, aktiviti gaya hidup, dan akses pengangkutan yang mudah.
Lima destinasi paling popular di dalam senarai tersebut ialah Bangkok, Tokyo, Seoul, Bali dan Osaka, diikuti oleh Taipei (Taiwan), Kuala Lumpur Da Nang (Vietnam), Johor Bahru dan Hong Kong.
Setiap destinasi menawarkan pelbagai pengalaman tersendiri yang menarik pelancong untuk kembali melawatinya semula.
Pengarah Negara Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja berkata, Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang tersenarai bersama destinasi serantau lain membuktikan kekuatan dan daya tarikan berterusan kedua-dua bandar raya ini.
Katanya, ia bukan sahaja menunjukkan populariti kedua-duanya sebagai destinasi percutian bandar, malah mencerminkan minat yang semakin mendalam untuk meneroka semula tempat yang sudah kunjungi kerana masih banyak lagi tarikan dan kejutan yang menanti.
“Destinasi-destinasi ini membuktikan bahawa satu kunjungan sahaja tidak memadai, lantas mendorong ramai pelancong untuk kembali ke destinasi kegemaran mereka.
“Mereka berkunjung semula untuk meneroka tempat yang belum sempat dilawati, mengunjungi lokasi yang dirindui atau sekadar menikmati suasana selesa yang sudah dekat di hati mereka.
“Data Agoda menunjukkan bahawa ramai pelancong kembali ke destinasi yang sama berulang kali dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, mencerminkan daya tarikan luar biasa di tempat-tempat ini,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN