SC lancar Cabaran COFAR

Perniagaan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan kerjasama ICAEW Malaysia, melancarkan Cabaran Adaptasi dan Ketahanan Banjir Pesisir (COFAR), satu inisiatif berfokus kepada pembangunan penyelesaian iklim berdaya tahan bagi komuniti pesisir seperti Pulau Carey di Selangor.

Cabaran ini mensasarkan penyertaan pelajar universiti dari seluruh negara bagi merangka penyelesaian adaptasi yang menggabungkan infrastruktur kejuruteraan dan pendekatan berasaskan alam semula jadi.

Setiap cadangan perlu mengandungi model kewangan yang berdaya maju dan boleh menjana pendapatan, selaras dengan matlamat SC untuk mengarusperdanakan daya tahan iklim dalam pasaran modal.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, cabaran COFAR adalah sebahagian daripada agenda Adaptasi dan Ketahanan SC, bertujuan membina kapasiti dan mendorong penyelesaian praktikal terhadap risiko iklim yang semakin meningkat di kawasan pesisir.

“Penyertaan generasi muda adalah penting dalam membentuk penyelesaian jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Pulau Carey yang dimiliki 79 peratus oleh SD Guthrie (Guthrie) menjadi lokasi kajian kes cabaran ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Upstream Malaysia Guthrie, Jeffry Faizal Kamaruddin berkata, Guthrie sebagai rakan teknikal akan menyediakan maklumat lokasi serta data kejuruteraan berkaitan sistem tebatan banjir sedia ada.

“Kami telah kenal pasti jurang dalam infrastruktur semasa seperti benteng dan sistem saliran.

“Penyertaan dalam COFAR membolehkan kami menilai penyelesaian baharu yang lebih berkesan dan menjimatkan kos,” ujarnya.

Turut serta sebagai rakan ilmu ialah SEADPRI-UKM, yang membekalkan kepakaran dalam pengurangan risiko bencana dan penyelidikan iklim.

ICAEW Malaysia melihat cabaran ini sebagai peluang memperkukuh kemahiran pelajar dalam bidang kewangan mampan.

Ketua ICAEW Malaysia, Shenola Gonzales pula berkata, cabaran ini membantu pelajar memahami bagaimana elemen kewangan boleh digunakan untuk menyokong penyelesaian iklim sebenar.

“Ini penting dalam membentuk profesional kewangan yang bersedia hadapi cabaran masa depan,” katanya.

Finalis COFAR akan berpeluang mempersembahkan idea mereka pada Sidang Kemuncak Kelestarian ICAEW pada November 2025 dan pemenang akan menerima hadiah wang tunai sehingga RM50,000.

Mereka turut akan diberi pengiktirafan di Persidangan Antarabangsa ACMF, membuka peluang kerjaya dan penyelidikan dalam bidang iklim dan kewangan mampan di peringkat ASEAN.

Cabaran ini dibuka kepada semua pelajar universiti di Malaysia serta pelajar Malaysia di luar negara. Setiap pasukan mesti mempunyai lima hingga emam ahli, termasuk sekurang-kurangnya seorang pelajar dari bidang kewangan atau perakaunan dan seorang dari kejuruteraan. – UTUSAN