KUALA LUMPUR: Planet QEOS Sdn. Bhd. (Planet QEOS) memeterai perjanjian induk (HOA) bernilai RM2.32 bilion dengan lima rakan strategik bagi melancarkan Program Tenaga Baram DeepTech, sekali gus membuka laluan kepada pembinaan loji solar ‘firm’ pertama di Malaysia di kawasan tanah tinggi Baram, utara Sarawak.
Kemudahan bersejarah itu bakal menjadi loji tenaga boleh diperbaharui pertama di negara yang mampu membekalkan elektrik berterusan sepanjang masa (dispatchable), setanding stesen janakuasa gas dan hidro konvensional.
Pengerusi Eksekutif Planet QEOS, Dino Bidari, berkata, langkah ini menandakan permulaan pembinaan projek strategik berimpak tinggi yang dijangka menjadi pemangkin pembangunan kawasan pedalaman Sarawak.
“Kejayaan memeterai perjanjian ini adalah hasil sokongan padu Premier Sarawak dan keberkesanan jentera kerajaan negeri dalam menterjemahkan visi kepada realiti.
“Kami membina lebih daripada sekadar loji janakuasa; ini adalah asas kemakmuran berkekalan di wilayah HDA. Kami bukan sahaja membawa megawatt, malah ekonomi luar bandar baharu — pekerjaan berkemahiran, infrastruktur moden, dan tenaga hijau bertaraf pelabur dari tanah tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu satu majlis menandatangani HOA dimeterai sempena Hari Libat Urus Awam-Industri MEESTY yang turut menyaksikan pelancaran Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Lima rakan strategik yang terlibat ialah EFS Group, ES Sunlogy, Founder Consortium, China Construction Sixth Engineering Bureau Corporation (CSCEC) dan Hopewind.
Projek ini selaras dengan sasaran Sarawak untuk mencapai kapasiti penjanaan 10 gigawatt (GW) menjelang 2030, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai “Bateri ASEAN” dan pengeksport utama tenaga bersih serantau.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, pula menyifatkan projek tersebut sebagai bab penting bagi Kawasan Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di Baram.
“Dengan membawa tenaga boleh diperbaharui 24 jam sehari ke Baram, ia membuka potensi penuh kawasan pedalaman untuk pertumbuhan mampan menerusi hubungan lebih baik, infrastruktur moden, industri baharu dan peluang pekerjaan berkemahiran.
“Ia akan menjadi pemangkin pembangunan serentak di Parlimen Mulu dan seluruh Hulu Baram,” katanya. – UTUSAN