Kerjasama awam-swasta pemangkin pembangunan AI negara

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) di Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab digital serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, sinergi antara kedua-dua sektor itu penting untuk mempercepat penerapan teknologi transformatif serta mewujudkan persekitaran yang subur untuk inovasi.

“Kerjasama awam-swasta dijangka memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital di negara-negara ASEAN.

“Dengan bekerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dapat mempercepat penerimaan teknologi baharu, mewujudkan persekitaran inovasi dan membolehkan perniagaan berkembang,” katanya ketika forum Memacu Masa Depan AI Malaysia Agenda Nasional yang Diselaraskan sempena SEAN AI Malaysia Summit 2025 di sini hari ini.

Forum tersebut turut menampilkan panel dari Kementerian Digital, Ketua Setiausaha, Fahian Bigar dan Ketua Pejabat Nasional Kecerdasan Buatan (NAIO), Shamsul Izhan Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, AI akan menjadi penyumbang utama dalam transformasi pelbagai sektor termasuk infrastruktur 5G, pendidikan dan pengangkutan, di samping memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kekal relevan serta berdaya saing.

“MDEC telah merekodkan jumlah pelaburan digital tertinggi sebanyak RM163.6 bilion bagi tahun 2024, berbanding RM46.8 bilion pada 2023.

“Jadi, kerajaan telah mula memberi penumpuan penuh kepada pembinaan ekosistem yang mampu menyediakan negara untuk bergerak lebih jauh dalam bidang AI, termasuk melahirkan rakyat bukan sahaja sebagai pengguna tetapi juga pencipta teknologi tersebut,” katanya. – UTUSAN