HLISB lancar Akaun HLB Meezani-i pelaburan patuh syariah

Perniagaan

PETALING JAYA: Hong Leong Islamic Bank (HLISB) melancarkan Akaun HLB Meezani-i, sebuah akaun pelaburan patuh syariah baharu yang membolehkan pengembangan kekayaan melalui pelaburan beretika, di samping berpeluang memperoleh ganjaran menarik.

Pelancaran ini bertepatan dengan ulang tahun ke-20 HLISB, yang menandakan satu pencapaian penting dalam komitmen berterusan bank untuk menyediakan perkhidmatan kewangan patuh syariah berteraskan pelanggan, selaras dengan keperluan generasi masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, pihaknya mengenang dua dekad menerajui penyelesaian perbankan Islam, HLISB kekal komited untuk mereka bentuk produk inovatif yang memenuhi keperluan pelanggan dan membantu mereka mencapai matlamat kewangan.

“Akaun HLB Meezani-i adalah bukti komitmen tersebut, di mana kami bukan sahaja menyediakan pelanggan dengan alat pelaburan dan simpanan yang mudah diakses, malah memberi ganjaran atas tabiat kewangan yang baik.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memperkasa semua rakyat Malaysia daripada keluarga muda dan pekerja ekonomi gig, hinggalah kepada pemilik perniagaan, golongan profesional dan pelabur yang bercita-cita tinggi untuk membina kekayaan mereka dengan satu akaun sahaja sambil menerima ganjaran secara berkala,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB, Andrew Jong berkata, Akaun HLB Meezani-i adalah satu lagi penambahan yang menarik dan berfokus kepada pelanggan dalam rangkaian produk runcit syarikat yang komprehensif.

“Akaun ini, dengan ambang kemasukan yang rendah serta struktur yang memberi ganjaran dan fleksibel, memperkasakan pelanggan baharu mahupun berpengalaman dengan menyediakan satu lagi pilihan yang lancar dan selamat untuk menjamin simpanan masa depan, sambil memenuhi keperluan hari ini,” katanya.

HLISB secara konsisten membuktikan menjadi sebuah peneraju industri dalam perbankan patuh Syariah, dengan meraih anugerah Bank Runcit Islam Terbaik di Malaysia pada Islamic Finance News (IFN) Best Banks Poll 2024.

Anugerah itu banyak dikaitkan dengan ekosistem perbankan digital HLISB yang lancar, termasuk pengalaman pembukaan akaun secara digital sepenuhnya.

HLISB turut dinobatkan sebagai Bank Runcit Islam Domestik Terbaik di Malaysia pada Digital Banker Global Retail Banking Innovation Awards 2024.

Mencerminkan semangat ‘keseimbangan’, akaun HLB Meezani-i direka sebagai penyelesaian pelaburan yang mudah diakses dan pada masa yang sama berfungsi sebagai alat simpanan yang praktikal.

Ini dicapai dengan menyediakan kepada pelanggan akaun pelaburan tanpa tempoh tetap atau syarat yang rumit, melalui struktur Akaun Pelaburan Tidak Terhad (UA).

Menerusi penyelesaian ini, bank memberi peluang kepada pelanggan untuk menerima ganjaran yang ditawarkan melalui cabutan harian, mingguan, bulanan, suku tahunan dan tahunan, sambil membekalkan mereka dengan alat mudah untuk mengembangkan kekayaan.

Dengan mengekalkan baki dana serendah RM100, pelanggan berpeluang menerima ganjaran seperti kenderaan baharu, pakej umrah, percutian dan diskaun pendidikan, selain pulangan tunai harian dan pelbagai lagi.

HLISB komited untuk memberi ganjaran kepada lebih 23,000 pelanggan pada tahun pertama pelancaran Akaun HLB Meezani-i, menjadikannya salah satu inisiatif ganjaran terbesar di pasaran tahun ini. – UTUSAN