Bolt perkenal perkhidmatan e-hailing perniagaan di Malaysia

Perniagaan

KUALA LUMPUR:  Bolt, platform mobiliti terkemuka dari Eropah melancarkan Bolt Business di Malaysia, platform pengangkutan digital khusus untuk sektor korporat bagi meningkatkan kelancaran urusan perjalanan perniagaan tanpa yuran pendaftaran.

Pengurus Besarnya, Afzan Lutfi berkata, platform itu dibangunkan bagi menangani cabaran dihadapi syarikat pelbagai saiz termasuk isu pengurusan tuntutan perjalanan pekerja, proses penempahan yang memakan masa serta kawalan perbelanjaan mengikut bajet ditetapkan.

Menurutnya, Bolt Business menawarkan pengurusan perjalanan dalam satu platform digital yang membolehkan tempahan dibuat sehingga 90 hari lebih awal, laporan penggunaan serta bajet disediakan.

“Ini selain pentadbir boleh mencipta kumpulan pengguna dengan had bajet tersendiri dan menetapkan destinasi dibenarkan.

“Platform itu juga menyediakan kod diskaun untuk pekerja atau pihak luar, sesuai bagi syarikat acara dan pusat beli-belah.

“Semua pemandu di Malaysia memiliki lesen dan permit sah melalui saringan latar belakang serta penilaian berkala.

“Ciri keselamatan turut disediakan termasuk bantuan kecemasan dalam aplikasi, rakaman audio perjalanan, penjejakan GPS secara aktif dan pasif, selain pemantauan laluan untuk mengesan kelainan seperti penyimpangan atau pemberhentian luar biasa,” katanya pada Majlis Pelancaran Bolt Business di sini hari ini.

Beliau berkata, khidmat pelanggan turut disediakan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dengan sokongan pengurus akaun khusus tanpa caj tambahan.

“Platform ini juga boleh diintegrasikan dengan sistem pihak ketiga seperti SAP Concur bagi memudahkan pengurusan kewangan dan perbelanjaan syarikat,” katanya.

Setakat ini, lebih 50,000 syarikat menggunakan Bolt Business di peringkat global, termasuk lebih 20,000 syarikat yang mendaftar setakat tahun lalu.

Sejak dilancarkan di Malaysia pada akhir 2024, Bolt telah berkembang pesat di Lembah Klang, termasuk dengan pengenalan tambang inklusif tol, pelancaran kategori premium Bolt Executive dan pertumbuhan ketara dalam kalangan rakan pemandu.

“Pencapaian ini mencerminkan permintaan kukuh terhadap perkhidmatan e-hailing yang lebih adil dan fleksibel.

“Bolt melihat potensi pasaran di Malaysia sebagai besar, meliputi syarikat pemula, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat korporat berskala besar.

“Bolt Business menawarkan penyelesaian pengangkutan yang berpatutan dan boleh dipercayai untuk pelbagai keperluan perjalanan perniagaan, sama ada menghantar wakil jualan, jurutera atau eksekutif ke destinasi masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN