Pertembungan sesama sendiri mungkin berlaku di Paris

Sukan

PETALING JAYA: Pertembungan sesama sendiri melibatkan saingan beregu lelaki, wanita dan campuran mungkin berlaku jika wakil negara berjaya mara sehingga ke pusingan ketiga atau suku akhir pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis bermula 25-31 Ogos ini.

Beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang pernah dinobatkan sebagai juara dunia bagi edisi 2022 di Tokyo, Jepun dijangka tidak menghadapi masalah untuk mara sehingga ke pusingan ketiga selepas mendapat bye para peringkat 64 terbaik dan hanya berdepan beregu bukan pilihan di pusingan kedua.

Namun, pada peringkat 16 terbaik, Aaron-Wooi Yik berpotensi bertembung rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King, seandainya beregu yang menghuni ranking ke-22 dunia itu berjaya melepasi dua pusingan awal.

Arif-Roy King bakal bertemu Kenya Matsuhashi-Hiroki Okamura dari Jepun pada peringkat 64 terbaik dan jika mara, beregu Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh menanti di pusingan 32 akhir.

Beregu No. 3 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut mendapat bye di pusingan pertama dan mereka mungkin berdepan Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teerasatkul dari Thailand atau Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat di peringkat seterusnya.

Satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang berada di ranking No.7 dunia berkemungkinan besar akan berdepan gandingan tuan rumah, Christo Popov-Toma Junior Popov dalam aksi pembukaan.

Jika mara ke pusingan ketiga, Ben Lady-Sean Vendy dari England menjadi pencabar Wei Chong-Kai Wun bagi mencari tempat ke suku akhir.

Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, status Pearly Tan-M. Thinaah selaku pasangan No. 2 dunia tidak mampu membantu mereka mengelak berdepan lawan yang kuat seawal pusingan kedua apabila mungkin bertembung pilihan ke-12, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

Satu lagi wakil Malaysia dalam sektor tersebut, beregu No. 18 dunia, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing mendapat bye pada pusingan pertama dan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria atau Rutaparna Panda-Swetaparna Panda dari India menjadi lawan mereka di peringkat seterusnya.

Jika melepasi halangan itu, Pei Kee-Mei Xing bakal berdepan laluan sukar menentang pilihan kelapan, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun pada pusingan ketiga dan sekiranya kejutan berjaya dicipta, Pearly-Thinaah menanti di suku akhir.

Untuk aksi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang menghuni ranking No. 25 dunia dijangka tidak berdepan masalah mengetepikan Tobias Kuenzi dari Switzerland di peringkat 64 terbaik dan pilihan ke-14, Kenta Nishimoto dari Jepun menjadi lawannya pada pusingan kedua.

Lee Zii Jia yang melakukan kemunculan sulung selepas berehat hampir lima bulan akibat kecederaan buku lali akan bertemu Jeon Hyeok Jin dari Korea Selatan, sebelum terpaksa mengharungi ujian getir menentang bintang No.4 dunia, Li Shi Feng pada pusingan kedua.

Dalam aksi beregu campuran, Malaysia mengirimkan tiga wakil iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Gooh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Ho Pang Ron-Cheng Su Yin.

Ketiga-tiga beregu negara dijangka tidak menghadapi masalah melepasi dua pusingan awal, namun, di peringkat 16 terbaik, Tang Jie-Ee Wei mungkin berdepan beregu Indonesia sedang meningkat naik, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu, manakala, Soon Huat-Shevon dan Pang Ron-Su Yin berpotensi bertembung sesama sendiri.

Bagi aksi perseorangan wanita, K. Letshanaa akan bertemu Saloni Samirbhai Mehta dari Hong Kong dan Goh Jin Wei menentang pilihan ke-14, Gao Fang Jie dari China pada pusingan pertama.-UTUSAN