JOHOR BAHRU: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), Mohd. Nidzam Jamil memuji kesungguhan dan komitmen anak buahnya yang memaksa Johor Darul Ta’zim (JDT) berhempas pulas di laman sendiri sebelum menang 5-3 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Beliau berkata, dalam aksi sulung skuad Hobin Jang Hobin itu, pemain tampak berjaya menyaingi kekuatan JDT dalam satu masa namun gagal pertahan kelebihan itu setelah pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan usai tamat babak pertama.
Mohd. Nidzam, akui sedikit terkilan apabila tewas dengan jaringan yang besar dan gagal untuk membawa pulang sebarang mata.
“Perasaan saya berbaur, kalau nak kata saya gembira dengan kekalahan, macam tak kena sebab saya tidak begitu, tapi saya gembira dengan komitmen yang diberikan pemain kerana bukan sukar bermain di sini.
“Kita tahu JDT cukup dominan bermain di gelanggang sendiri, kita perlu bijak untuk serap tekanan. Namun, kita mudah dibolosi dari sepakan sudut dan perangkap ofsaid juga kurang baik.
“Apa pun, keputusan ini bukanlah indikator sebenar kerana kita ada banyak perlawanan lagi, saya harap sikap positif malam ini bukan habis di sini tapi diteruskan pada perlawanan mendatang,”katanya.
Ditanya mengenai sasaran pada musim ini, Mohd. Nidzam berkata, dia tidak meletakkan sasaran yang tinggi untuk mencabar kelompok teratas Liga Super namun setidak-tidaknya memperbaiki kedudukan musim lalu yang berada di tempat kedua tercorot.
“Pada tahun lepas, NSFC berada di kedudukan kedua tercorot dan melepaskan banyak gol. Ini yang akan kita cuba perbaiki dan saya harap penyokong dapat bersabar dengan saya,” ujarnya.
Ditanya mengenai ketiadaan Luqman Hakim Shamsudin dan Ahmad Khuzaimee Piee, beliau berkata, Luqman Hakim direhatkan kerana mengalami kecederaan manakala Ahmad Khuzaimee masih belum cergas sepenuhnya setelah mengalami kecederaan dalam perlawanan pramusim menentang kelab dari Indonesia, Semen Padang.
“Apapun ketiadaan kedua-dua pemain itu memberi ruang buat pemain seperti N. Javabilaarivin dan Zainal Abidin (Jamil) untuk beraksi dan mereka melaksanakan tugas dengan baik.
“Pemain import juga beraksi dengan baik setelah Joseph Esso dan Jovan Motika masing-masing meletakkan nama dalam senarai penjaring. Walaupun Wai Lin Aung melakukan kesilapan yang membawa kepada gol penyamaan, namun dia cepat bangkit semula pada perlawanan itu,” ujarnya.-UTUSAN