6,056 graduan terima ijazah sempena Konvokesyen UPM Ke-28

Sains

SERDANG: Seramai 6,056 graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Ke-48 Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bermula hari ini sehingga 6 Disember ini.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, pada majlis tersebut, 608 orang akan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 1,509 menerima Ijazah Sarjana, 3,934 graduan Ijazah Sarjana Muda dan lima graduan Diploma.

Ahmad Farhan Mohd Sadullah

Katanya, majlis pengurniaan ijazah itu akan berlangsung selama tujuh hari dan akan disempurnakan oleh tiga ProCanselor UPM iaitu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj; Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie dan Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

“Sultan Selangor yang juga Canselor UPM , Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat kepada Profesor Emeritus Academician, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim serta Pengurniaan Gelaran Profesor Emeritus kepada Datin Paduka Dr. Aini Ideris pada Sesi Pertama konvokesyen itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini Selasa lalu.

Turut bergraduat bagi graduan sulung ialah tiga orang graduan Doktor Falsafah Program Ijazah Bersama dengan University of Newcastle, Australia; seorang graduan Doktor Falsafah Program Ijazah Bersama dengan University of Sheffield, United Kingdom; seorang graduan Doktor Falsafah Program Ijazah Cotutelle dengan University of Montpellier, Perancis dan dari Program Ijazah Cotutelle dengan University of Wollongong, Australia.

Tambah Ahmad Farhan, UPM akan terus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam melahirkan graduan bidang pertanian sekali gus menyokong usaha negara memastikan keterjaminan makanan.

Menurut beliau, seramai 928 graduan daripada pelbagai program agrobio akan diraikan pada konvokesyen berbanding berbanding tahun lalu.

“Jumlah ini mencatat peningkatan ketara berbanding tahun lalu, di mana hanya seramai 328 graduan daripada program agrobio telah menamatkan pengajian mereka, peningkatan lebih 100 peratus dan menunjukkan peningkatan minat serta bilangan graduan yang dihasilkan di UPM,” katanya.

Sepanjang konvokesyen itu katanya, UPM akan mengadakan Klinik Pertanian terbuka kepada orang awam secara percuma untuk mendapatkan nasihat atau panduan berkaitan pertanian bandaran selain klinik penghasilan pelembab bibir.

Menurutnya lagi, paling menarik adalah demonstrasi menghasilkan kawalan serangga perosak menggunakan bahan dapur.

“Orang ramai dijemput hadir mengambil kesempatan perkongsian ilmu ini di samping aktiviti menarik yang lain,” katanya.

Sementara itu, Penerima Anugerah Pingat Emas Razlan Putra, Muhamad Hafiezie Sudin, 24, tidak menyangka akan menjadi salah seorang penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-48.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Fakulti Pengajian Pendidikan itu berkata, dia pernah menerima teguran negatif agar berhenti daripada meneruskan pengajiannya di universiti kerana bimbang sukar membahagikan masa untuk belajar.

“Ada yang suruh saya ‘drop’ semua subjek kerana bimbang tertinggal dalam akademik, tetapi itu bukan pilihan saya. Saya tetap bertekad untuk tamatkan pengajian tepat pada masanya,” katanya.

Bagi D. Anoushri Menon, 23, yang juga menerima Anugerah Pelajaran Diraja, kejayaan itu amat membanggakannya dan keluarga.

“Saya datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan mendapatkan pendidikan adalah satu cabaran besar. Namun, dengan tanggungjawab yang betul dan pengurusan masa yang baik, saya berjaya mencapainya,” kata graduan Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia Dengan Teknologi Maklumat dari Fakulti Ekologi Manusia. – UTUSAN