SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara untuk melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli parti itu berkuat kuasa serta merta.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat MKT yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada malam Isnin.
“Penarikan semula itu selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO.
“Majlis Kerja Tertinggi juga mengucapkan tahniah atas pelantikan Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Dilantik.
“MKT meminta supaya semua wakil UMNO sama ada memegang amanah parti dalam Jemaah Menteri mahupun agensi atau syarikat berkaitan kerajaan untuk terus meningkatkan prestasi kerja dengan cemerlang demi rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
UMNO dilaporkan telah menggantung keahlian Tajuddin pada 31 September 2022.
Selain Tajuddin, beberapa lagi pemimpin UMNO menerima nasib sama sebelum ini ialah bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan memulakan Sekolah Politik yang akan dibuka kepada semua rakyat bermula awal tahun hadapan.
Ujarnya, ia bagi memfokuskan kepada ilmu-ilmu kenegaraan, perlembagaan, dinamika politik demokrasi, politik khidmat dan bakti kepada rakyat.
“MKT meminta supaya semua wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sama ada yang memegang amanah parti dalam Jemaah Menteri mahupun agensi dan syarikat kaitan kerajaan mesti terus meningkatkan prestasi kerja dengan cemerlang demi rakyat serta negara,” katanya.