[VIDEO] Sultan Selangor tidak berkenan tukar nama Universiti Putra Malaysia

Sains

SERDANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan cadangan untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.

Tegas baginda, cadangan tersebut tidak dirujuk kepadanya selaku Canselor UPM dan juga kepada Lembaga Pentadbir universiti terlebih dahulu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) Tahun 2024 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM pada Sabtu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) Tahun 2024 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM pada Sabtu.

“Baru-baru ini beta telah membaca satu kenyataan daripada seorang Menteri, Mohamad Sabu yang mencadangkan untuk menukarkan semula nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia.

“Di sini beta menegaskan bahawa nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana beta telahpun melancarkan jenama Putra yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’,” titah baginda ketika berkenan hadir menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) Tahun 2024 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM pada Sabtu.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UPM bertitah, nama Universiti Putra Malaysia ini juga adalah mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

“Beta ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat apa-apa kenyataan terutama yang melibatkan Universiti Putra Malaysia,” titahnya

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Khamis berhasrat membawa cadangan penukaran nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia ke Mesyuarat Kabinet tidak lama lagi, selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.

Untuk rekod, nama universiti itu ditukar daripada Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia pada 3 April 1997 bagi menggambarkan status UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menawarkan program pengajian dalam bidang pertanian sebaliknya pelbagai bidang lain terutamanya sains dan teknologi maklumat.

UPM yang kini mempunyai 14 fakulti pengajian menawarkan pelbagai program pengajian berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pertanian pintar.

Sementara itu, 928 graduan pelbagai program pertanian diraikan pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) Tahun 2024 pada 30 November hingga 6 Disember 2024 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Bilangan itu termasuk dalam jumlah 6,056 graduan pelbagai program pengajian yang akan menerima ijazah dan diploma masing-masing terdiri daripada penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seramai 608, Ijazah Sarjana (Master) seramai 1,509 Bacelor (3,934) dan Diploma (5).

Sebelum ini, Majlis Konvokesyen ke-48 Sidang 1 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah diadakan pada 2 hingga 3 November lalu dan seramai 473 graduan pelbagai program pengajian telah bergraduat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan titah ucapan pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) Tahun 2024 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM pada Sabtu.