Armada ikrar sokong Muhyiddin ke Putrajaya

Politik

SHAH ALAM: Angkatan Anak Muda Parti Bersatu (Armada) berikrar menyokong kepemimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perikatan Nasional (PN) dan seterusnya membawa gabungan itu ke Putrajaya.

Ketuanya, Muhammad Hilman Idham berkata, Armada akan berdiri berasama bekas Perdana Menteri itu untuk menjadi komander Bersatu dan PN untuk mengemudi parti kembali menjadi kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Saya ingin menegaskan, Muhyiddin adalah pemimpin nombor wahid (satu) dalam PN dan akan kekal menerajuinya ke Putrajaya. Tan Sri adalah supreme commander Bersatu dan PN.

“Wahai seluruh ketumbukan Armada, apakah kita semua bersedia? Tan Sri adalah commander dan Armada adalah laskarnya. Armada berkirar untuk berdiri teguh, setia dan maju bersama Muhyiddin sehingga tiba di Putrajaya,” katanya pada ucapan dasar Persidangan Armada Bersatu, hari ini.

Sebelum ini terdapat pertembungan antara Pas dan Bersatu selepas isu calon Perdana Menteri pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) menjadi perdebatan apabila Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar menyifatkan PN agak gelojoh mengumumkan calon Perdana Menteri gabungan parti itu.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan pertelingkahan tersebut tidak patut timbul kerana perkara yang lebih mustahak ketika ini adalah untuk menjaga kerjasama gabungan berkenaan bagi memelihara kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Muhammad Hilman pada ucapan sama mengumumkan pembentukan enam jabatan di bawah kepemimpinannya iaitu Jabatan Politik dan Strategi, Jabatan Pilihan Raya dan Pendemokrasian, Jabatan Pengurusan, Jabatan Komunikasi dan Media Baharu, Jabatan Kaderisasi dan Sumber Daya Manusia serta Jabatan Latihan dan Pemantapan Idealisme.

“Armada juga akan menubuhkan portal berita ‘Suara Kebangsaan’ yang akan dikendalikan oleh ketua pengarangnya, Muhammad Khairi Zainol Abidin dibawah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu yang diketuai Na’im Brundage.

“Dengan penuh rasa tawaduk, saya menginsafi kedudukan sebagai Ketua Armada adalah satu amanah dan bukan keistimewaan. Saya berikrar untuk cekal setia bersama-sama seluruh keluarga besar kita mengabadikan diri buat perjuangan suci itu,” ujarnya. – UTUSAN