LUMUT: Perak FC melayakkan diri ke saingan suku akhir Piala Malaysia selepas menang 3-1 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam perlawanan kedua pusingan 16 di sini hari ini.
Pasukan tuan rumah mara dengan agregat 6-1 selepas menang 3-0 dalam aksi pertama di Stadium MB Petaling Jaya, minggu lalu.
Pada perlawanan di Stadium Manjung di sini, pasukan tuan rumah meraih jaringan pertama menerusi Clayton Da Silva yang menanduk masuk bola lambung Muhamad Nur Azfar Fikri pada minit kesembilan.
Wan Zack Haikal Wan Nor kemudiannya mencetak nama sebagai penjaring Perak FC, juga menerusi tandukan apabila menyudahkan hantaran Ariff Ar-Rasyid Ariffin pada minit ke-35.
Ariff Ar-Rasyid terus meletakkan Perak selesa mendahului apabila menjaringkan gol ketiga pasukan tuan rumah selepas mudah menolak masuk bola ke gawang lawan hasil lorongan Clayton Da Silva pada minit ke-58.
Lee Tae Min hampir menambah satu lagi gol buat pasukan tuan rumah pada minit ke-79 namun sepakan percuma pemain itu berjaya ditepis keluar penjaga gol KDN FC, Mohammad Fikri.
Pasukan pelawat akhirnya berjaya membolosi gol pasukan tuan rumah menerusi Adam Danial yang bijak mengambil peluang daripada hantaran jauh rakan sepasukan pada minit ke-84, untuk menumpaskan penjaga gol Perak FC, Mohamad Ramdhan.
Babak akhir perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada gol dapat dihasilkan untuk perlawanan berkesudahan 3-1 memihak pasukan tuan rumah. – UTUSAN