SHAH ALAM: Jawatan Setiausaha Agung baharu Perikatan Nasional (PN) dijangka akan diputuskan pada mesyuarat pimpinan tertinggi gabungan komponen parti itu pada 9 Disember ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara perlembagaan berkuasa melantik mana-mana pemimpin parti bagi jawatan berkenaan termasuk sama ada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan Setiausaha Agung Parti Bersatu.
“Biarpun kuasa diberikan kepada pengerusi (Muhyiddin), kita tidak mahu pihak yang lain-lain bercakap mengenai perkara itu. Biar ia diumumkan dalam mesyuarat tertinggi (PN) pada 9 Disember ini dan kita akan terima baik keputusan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan sayap-sayap Bersatu, hari ini.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kedudukan Mohamed Azmin sebagai Setiausaha Agung PN menggantikan Hamzah seperti diuar-uarkan Muhyiddin mencetuskan pertikaian antara Bersatu dan Pas.
Pertikaian itu bermula apabila pemimpin Pas menjelaskan mesyuarat PN belum diadakan, sekali gus lantikan Azmin sebagai setiausaha gabungan berkenaan tidak boleh disahkan.
Pelantikan yang dibuat oleh Muhyiddin itu disifatkan Pas hanya ‘cadangan’ dan Dewan Pemuda parti itu mahu mencadangkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan memegang jawatan tersebut.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu, menegaskan isu pelantikan itu diminta tidak dibincangkan secara umum di peringkat akar umbi.
“Kalau mahu bercakap biarlah datang daripada pemimpin tertinggi parti, presiden-presiden parti duduk berbincang perkara ini. Bila tiba masa nanti, wakil diberi mandat untuk berucap. Jika seorang dua, itu hanya suara di bawah saja dan bukan keputusan pimpinan tertinggi parti,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas isu pendedahan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai cubaan menggagalkan gabungan Kerajaan Perpaduan, beliau memaklumkan hanya percakapan biasa antara sahabat lama.
“Pihak itu hanya cadang sebagai kawan dan tiada mempunyai mandat seperti pengerusi untuk berbuat demikian. Macam sahabat lama dan individu yang menemui Zahid itu juga telah menceritakan apa yang sebenarnya berlaku,” jelasnya.
Baru-baru ini, Ahmad Zahid dalam ucapan perasmian Konvensyen Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan mendedahkan wujudnya usaha memujuk gabungan itu meninggalkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.. – UTUSAN