Jangan letak harapan tinggi

Sukan

PETALING JAYA: Suka atau tidak, peminat bola sepak tempatan perlu menerima hakikat bahawa 26 pemain yang dipilih oleh Pau Marti Vicente untuk membawa cabaran negara ke Piala ASEAN 2024 adalah skuad terbaik yang ada ketika ini.

Ia selepas mengambil kira pemain-pemain utama Harimau Malaya tidak dilepaskan kelab masing-masing kerana kejohanan terbesar di pentas Asia Tenggara itu berlangsung diluar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Situasi itu bukan kali pertama berlaku kerana, situasi sama pernah dihadapi oleh bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon apabila terpaksa membawa skuad tanpa pemain utama ke Piala ASEAN 2022, namun berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

“Kita kena berfikir secara positif, Pau Marti tidak dapat panggil pemain yang diinginkan kerana tidak dapat pelepasan daripada pasukan masing-masing, liga kita juga masih berjalan dan kejohanan di luar kalendar FIFA.

“Semua ini perlu diambil kira. Jadi, Pau Marti kena terima pemain yang dilepaskan sahaja. Saya nampak, macam orang dulu-dulu kata, ‘tiada rotan, akar pun berguna’. Itu situasi yang kita hadapi sekarang.

“Dalam masa yang sama, para peminat juga jangan harapkan sesuatu luar biasa daripada kem Harimau Malaya dalam kejohanan kali ini. Namun, itu bukan alasan untuk mereka tidak beraksi sehabis baik,” kata pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.

Piala ASEAN 2024 yang akan bermula pada 8 Disember ini menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste.-UTUSAN