AirAsia X catat pendapatan RM795 juta pada suku ketiga

Perniagaan

PETALING JAYA: AirAsia X Berhad (AirAsia X) mencatatkan pendapatan sebanyak RM795 juta, meningkat sebanyak 23 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2024 berbanding RM648.4 juta pada suku ketiga 2023. 

Menurut kenyataan, pertumbuhan tu didorong oleh peningkatan 34 peratus tahun ke tahun dalam jumlah penumpang yang diterbangkan, dengan Faktor Muatan Penumpang (PLF) kukuh pada 84 peratus. 

“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) dinormalisasikan kepada RM76.2 juta bagi suku ini, berbanding RM132.1 juta pada suku yang sama tahun lalu, yang dipengaruhi oleh pembalikan peruntukan pada suku ketiga 2023. 

“Walaupun suku ketiga secara tradisional adalah suku yang lemah, syarikat mencatatkan keuntungan operasi bersih hampir RM3.0 juta, manakala keuntungan bersih suku ini merekodkan RM121.6 juta hasil keuntungan pertukaran asing bersih,” katanya. 

Jelasnya, pada suku ini, AirAsia X menerbangkan seramai 1,084,049 penumpang, meningkat 34 peratus tahun ke tahun dengan PLF bertambah empat mata peratusan kepada 84 peratus berbanding suku ketiga 2023. 

“Permintaan pasaran yang berterusan dapat dilihat melalui PLF yang sihat meskipun kapasiti tempat duduk meningkat 27 peratus tahun ke tahun kepada lebih 1.28 juta tempat duduk, dengan syarikat meningkatkan bilangan pesawat operasi kepada 16 berbanding 14 pada tahun lalu.  

“Pendapatan sampingan setiap penumpang terus berkembang kepada RM247, meningkat empat peratus tahun ke tahun. 

“Bersama dengan peningkatan jumlah penumpang, pendapatan sampingan keseluruhan melonjak hampir 40 peratus tahun ke tahun kepada RM267.5 juta. 

“Tambang asas purata syarikat pula ialah RM443 bagi suku ini, hasil daripada kempen promosi yang diadakan bersempena pelancaran laluan baharu seperti Changsha dan Chongqing,” ujarnya.-UTUSAN