Kecederaan tamatkan karier Fatin Nasuha

Sains

MEMILIKI tubuh kecil jelas tidak menghalang Fatin Nasuha Khalidi untuk menjadi pemain ragbi wanita, namun beliau terpaksa melupakan kariernya apabila didiagnosis kecederaan siatika iaitu urat di bahagian belakang tersepit diantara tulang ketika menuju Sukan Malaysia (Sukma) di Johor pada 2022.

Kalau hendak dibandingkan dengan atlet yang lain, perjalanan karier anak kelima daripada tujuh adik beradik ini dalam usaha untuk membuat penampilan pada Sukma itu mampu memberi inspirasi kepada bakal pelapis biarpun terpaksa melupakan kerjayanya sebagai pemain buat selama-lamanya.

Fatin bermula dengan sukan olahraga sebagai pelari pecut ketika bangku sekolah rendah dan menyertai pelbagai kejohanan daerah seperti Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di bandar kelahirannya, Sekolah Rendah (SK) Merpati Jepang, Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, Fatin menyedari bahawa bakatnya yang suka berlari pecut mampu diolah ke sukan ragbi ketika melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Hj Othman Abd Wahab (SHOAW) di Kuching yang mana sekolah terbabit mendominasi acara berkenaan ketika itu.

Ketika berumur 14 tahun, melihat para pemain lelaki di sekolah itu berlatih ragbi untuk kejohanan, Fatin jelas meminati dan mahu mencuba sukan berkenaan.

BERTUBUH kecil tidak menghalang Fatin Nasuha untuk menceburi sukan ragbi.

Namun, sayangnya sekolah berkenaan tidak membenarkan pelajar perempuan menyertai sukan terbabit dan hanya bermain sekadar hobi sekali gus menyebabkan Fatin melupakan hasratnya untuk berkecimpung dalam ragbi.

Memasuki alam universiti pada 2018, atlet berbangsa Melanau itu pada mulanya mahu melanjutkan impiannya menjadi pelari pecut dalam olahraga, namun pusat pengajiannya, UiTM Sarawak Kampus Samarahan 2 tiada sukan terbabit untuk meneruskan perjalanannya.

“Saya suka berlari sejak kecil. Memang sukan kegemaran saya yang mahu menjadi pelari pecut dalam Sukma. Namun, saya mendapati pusat pengajian saya tidak ada olahraga untuk meneruskan bakat saya.

“Jadi, saya sambung bakat saya itu ke sukan ragbi. Saya lebih menunjukkan bakat pecut saya dalam ragbi berbanding olahraga,” kata Fatin kepada Mingguan Malaysia.

Ketika itu, ragbi wanita di Kuching sangat tidak aktif dan hanya bermain ragbi sentuh, namun itu tidak menghalang Fatin untuk menyertai kelab di bawah UiTM Rugby Club (RC).
Fatin mula bermain ragbi dan jelas bakatnya terserlah bermain untuk UiTM Sarawak sekali gus membuka peluangnya untuk menggalas tugas di kelab luar iaitu Phoenix.

Kemahirannya sebagai posisi winger, menyalakan harapan untuk mewakili negeri Sarawak bagi Sukma edisi 2020 di Johor apabila menarik perhatian barisan kejurulatihan negeri berkenaan ketika selesai beraksi dalam satu kejohanan.

Lebih manis, Fatin berjaya melepasi pemilihan untuk pasukan ragbi wanita tujuh sebelah (7s) Sarawak bagi Sukma 2020 pada penghujung 2018 bersama seorang rakannya yang juga penuntut UiTM.

Walaupun bertudung, itu tidak menghalang impian Fatin untuk meneruskan impiannya untuk bermain ragbi dan terus menjalani latihan setiap hari dalam memberi aksi terbaik pada temasya dwitahunan itu.

“Saya gembira dengan rakan sepasukan saya. Walaupun mereka berlainan bangsa dan agama, mereka sangat menghormati pakaian saya lebih-lebih ketika menjalani latihan dan kejohanan. Ianya satu perkara yang bermakna buat saya,” ujar Fatin.

Bagaimanapun, Fatin terpaksa melupakan penampilan sulungnya di Johor berikutan Malaysia dilanda pandemik COVID-19 sekali gus SUKMA edisi 2020 terpaksa dibatalkan.

Namun, itu tidak mematahkan semangat Fatin, sebaliknya meneruskan latihannya selama dua tahun untuk SUKMA 2022 sekiranya pandemik COVID-19 beransur pulih.

Bahang SUKMA 2022 semakin hangat, Fatin yang ketika itu sedang menyertai Kejohanan Ragbi Perlis Royal 7s 2022 menjadi peristiwa hitam untuk dirinya yang tidak mampu dilupakan sehingga kini.

Ketika menuju ke perlawanan akhir, Fatin mengalami kecederaan yang begitu serius ketika menjalani latihan yang mana pada masa itu hanya berbaki empat bulan sahaja lagi sebelum SUKMA 2022 membuka tirai saingannya.

Rasa perit di bahagian belakang dan sering keletihan semasa latihan selepas kejohanan itu menyebabkan Fatin berjumpa dengan pakar fisiologi pada tahun 2022, dan doktor terbabit menyatakan bahawa beliau mengalami siatika yang mana kecederaan yang tiada ubatnya.

“Fisio (fisiologi) kata ubatnya hanya perlu menjalani terapi kerana kecederaan itu adalah urat tersepit di antara tulang. Ianya menjadi sempit sekali gus memberi kesakitan kepada saya.

“Pada 2023, saya sudah pulih sedikit dan cuba bermain ragbi semula. Namun, pada hari pertama saya rasa sakit sangat ketika menjalani latihan pada hari pertama. Saya kaku dan tidak boleh berjalan.

“Jadi sejak itu saya menyedari bahawa saya tidak boleh lagi berlatih dan hasrat saya untuk terus bermain ragbi terkubur begitu sahaja,” tambahnya.

Bermula dari situ, Fatin terpaksa melupakan kariernya sebagai pemain ragbi dan pada akhirnya meneruskan pengajian ijazah sarjana muda di UiTM Shah Alam dalam jurusan Sains Komputer.