Selangor ada kualiti untuk menang

Sukan

PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi berharap magisnya akan terhasil dalam perlawanan kedua bersama skuad Red Giants selepas kecewa dalam penampilan ketika tumpas 1-2 kepada Muangthong United.

Malam ini, Selangor akan turun berdepan Sri Pahang FC dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang selepas terikat 1-1 dalam aksi pertama.

Dengan set pemain yang ada, Kinoshi percaya Selangor FC ada kualiti untuk meraih kemenangan namun kini harus memastikan anak buahnya benar-benar bersedia untuk keluar daripada kekecewaan.

“Kami ada banyak perlawanan selepas ini dan apa yang pemain tunjukkan, saya begitu gembira dengan tahap kecergasan mereka. Perlawanan selepas ini kami kena hasilkan jaringan dan itu adalah tugas saya untuk memastikan kami bersiap sedia untuk hadapinya.

“Kami kena tukar mentaliti dan saya yakin kami sebenarnya mampu buat. Untuk aksi selepas ini, kami kena berikan kemenangan kepada penyokong kami,” katanya.

Selepas sekadar seri 1-1 pada aksi pertama di Stadium Temerloh, 23 Oktober lalu, Red Giants kini tiada pilihan lain kecuali memastikan kemenangan bagi menyamai pencapaian musim lalu layak ke suku akhir.

“Saya harap perlawanan selepas ini kami dapat jaringkan gol kerana kami tidak berlatih untuk melakukan sepakan ke arah tiang,” katanya merujuk kepada beberapa percubaan pemainnya terkena tiang pada aksi menentang Muangthong United.-UTUSAN