Ujian bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 esok diteruskan seperti dijadual

Pendidikan

PUTRAJAYA – Ujian bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang akan bermula esok diteruskan seperti yang dijadualkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ujian yang bermula esok hingga 5 Disember itu dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung.

Beliau berkata, Ops Payung itu merangkumi pelan tindakan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan mengikut pekeliling berkaitan bertarikh 22 Oktober lalu.

“Pelan itu telah pun dilancarkan 28 Oktober lalu. Kita telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi apa jua situasi banjir.

“Kita juga bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan peperiksaan SPM berjalan dengan lancar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, keputusan untuk meneruskan SPM 2024 ini dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada pihak keselamatan khususnya Nadma.

Fadhlina berkata, keputusan meneruskan ujian bertutur itu juga dibuat berdasarkan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Beliau berkata, calon SPM yang akan menduduki peperiksaan esok juga dibenarkan memakai pakaian bersesuaian. – KOSMO! ONLINE