Tajuddin hantar rayuan empat kali untuk kembali kepada UMNO

Politik

SHAH ALAM: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikatakan menghantar rayuannya untuk kembali menjadi ahli sebanyak empat kali menyebabkan beliau akhirnya kembali diterima dalam parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu menunjukkan kesungguhan dan komitmen selain bukti kesetiaannya terhadap parti.

“Tajuddin juga sanggup turun berkempen untuk UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota sebelum ini.

“Beliau juga hadir Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. Jadi, saya tidak nampak kenapa Majlis Kerja Tertinggi tidak bersetuju dengan rayuannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Tajuddin digantung keahlian parti selama enam tahun berkuat kuasa September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain Tajuddin, turut digantung bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, MKT boleh membuat keputusan sama kepada mana-mana ahli parti yang digantung keahliannya, asalkan mereka masih menunjukkan taat setia mereka kepada UMNO. – UTUSAN