TUDM terbangkan pesakit kanak-kanak untuk terima rawatan di HSNZ – Foto: TUDM
SETIU – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan ihsan dari Setiu ke Kuala Terengganu bagi membawa seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menghidap penyakit Ocular Myasthenia Gravis untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Ini berikutan bencana banjir besar yang sedang melanda negeri ini menyebabkan kebanyakan jalan perhubungan darat tidak dapat dilalui selain memerlukan pengangkutan udara.
Susulan itu, TUDM telah mengatur gerak sebuah helikopter EC 725 AP dari Detasmen No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak Besut bagi melaksanakan operasi yang dijalankan pada jam 4.22 pagi tadi.
Muhammad Uwais Zainudin yang sedang menerima rawatan di Hospital Setiu telah diterbangkan dari padang bola Sekolah Menengah Sains Setiu pada jam 4.48 pagi tadi ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada jam 5 pagi, Muhammad Uwais terus dibawa menaiki ambulans ke HSNZ bagi rawatan selanjutnya di hospital terbabit.
Penerbangan Ihsan tersebut telah dilaksanakan Komander Pesawat, Mejar Mohd Fazruzaman MD Faril TUDM dan dibantu Kapten Mohammad Ayub Mohmad TUDM selaku pembantu juruterbang.
Turut terlibat ialah Kuartermaster Udara, Flait Sarjan Muammar Ghadaffi Abu Hamid.
Penerbangan turut disertai Pegawai Perubatan, Dr Siti Norliyana Aimuni Mustafa serta Pembantu Perubatan, Nor Azlan Mohd Nawi yang bertindak menstabilkan dan memantau pesakit sepanjang penerbangan.