Bukan Shahidan seorang yang jumpa saya

Politik

SHAH ALAM: Gerakan memujuk Barisan Nasional (BN) supaya meninggalkan Kerajaan Perpaduan bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa dilakukan oleh beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Perkara itu didedahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan ahli parti pembangkang yang berjumpa dengannya untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, pertemuan tersebut berlaku secara tidak rasmi, namun enggan mendedahkan siapa ahli pembangkang lain yang berjumpanya kepada umum.

“Bukan hanya Shahidan seorang yang bertemu saya bercakap tentang perkara sama (keluar Kerajaan Perpaduan). Kalau saya kongsi, ia bukan rahsia lagi. Oleh itu, biarlah saya bincang (dedahkan) dengan pemimpin tertentu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid mendedahkan perkara tersebut ketika Konvensyen BN Wilayah Persekutuan pada minggu lalu apabila pihak yang terlibat itu dikatakan turut meminta empat jawatan menteri sebagai timbal balik sekiranya Kerajaan Perpaduan jatuh.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, beliau memaklumkan hal berkenaan kepada Perdana Menteri supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap usaha yang dilakukan pihak berkenaan. – UTUSAN