Empat calon SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong, dari kiri Muhammad Zairil Bahanordin, Nur Hasmira Najwa Hasan, Nur Intan Aliesya Zamri dan Natasha Adila Abdullah dipindahkan ke asrama SMK Alor Janggus bagi persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula Selasa.
ALOR SETAR – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Kawasan Gunung Keriang di sini yang terjejas banjir berharap pemindahan mereka ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Janggus akan memberi peluang kepada mereka mengulang kaji dengan lebih selesa.
Nor Hasmira Najwa Hasan,17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong berkata, dia ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gunong di sini sejak rumahnya dinaiki air beberapa hari lalu.
“Saya ulang kaji di PPS ni sendiri-sendiri saja tetapi kurang selesa sikit sebab bising, jadi bila cikgu nak pindahkan semua calon SPM ke asrama SMK Alor Janggus saya sangat bersyukur.
“Mudah-mudahan saya dan rakan-rakan lain dapat buat persediaan selengkapnya untuk SPM ni,” katanya ketika ditemui di PPS di sini pada Ahad.
Menurut pelajar aliran Sains Rumah Tangga, SMK Seri Gunong, Nur Intan Aliesya Zamri,17, pula walaupun diuji dengan bencana banjir namun dia telah membuat persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula pada Selasa.
“Masa banjir bulan September lalu, rumah saya di Pulau Kerengga banjir juga tapi tak seteruk sekarang.
“Cuma kali ini saya sempat juga selamatkan buku-buku dan baju sekolah dengan letak di tempat tinggi,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Zairil Bahanordin pula terpaksa berpindah ke Dewan Seri Gunong selepas rumahnya di Alor Gonchar dinaiki air sehingga paras dada sejak Khamis lalu.
“Semua buku basah kena air menyebabkan saya terpaksa pinjam buku dan nota kawan-kawan. Walaupun kurang selesa, saya tiada pilihan selain belajar di PPS ini.
“Gelisah juga nak duduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada Selasa, tetapi apa pun saya akan buat yang terbaik. Hari ini guru ambil saya dan tiga lagi rakan di PPS untuk menginap di asrama SMK Alor Janggus seterusnya menduduki ujian di situ,” katanya.