Young Tigers tempah laluan berliku

Sukan

PETALING JAYA: Hasrat skuad hoki remaja negara untuk menamatkan saingan peringkat Kumpulan B Piala Remaja Asia sebagai juara tidak kesampaian apabila tewas 4-1 kepada Pakistan di Stadium Hoki Oman, Muscat, sebentar tadi.

Kekalahan itu turut menyaksikan skuad kendalian I Vikneswaran berdepan tugas getir apabila dijadual menentang juara bertahan, India di peringkat separuh akhir kejohanan pada Selasa ini.

Sufyan Khan muncul wira Pakistan apabila menjaringkan tiga gol dalam aksi tersebut masing-masing pada minit ketiga, ke-35 dan ke-58 manakala satu lagi jaringan dihasilkan oleh Abdul Qayyum pada minit ke-51.

Gol tunggal Young Tigers dijaringkan oleh Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari pada minit ke-23 menerusi gol padang.

Pakistan akan menentang naib juara Kumpulan A sama ada Jepun atau Korea Selatan dalam satu lagi aksi separuh akhir. – UTUSAN