Sayap wanita PAS menggesa kerajaan menangguhkan peperiksaan SPM berikutan ramai pelajar terjejas banjir.
Ketua Penerangan sayap itu Dr Najihatussalehah Ahmad berkata langkah semasa Kementerian Pendidikan memindahkan pelajar SPM ke kemudahan kerajaan di mana mereka boleh terus membuat persediaan dan menghadapi peperiksaan, belum cukup.
“Kerajaan boleh menyiapkan fasiliti mahupun kelengkapan namun sudah pasti kerajaan tidak dapat membantu persediaan mental calon menghadapi peperiksaan dalam keadaan rumah dan keluarga terkesan dengan banjir.
“Jentera penyelamat yang seharusnya digunakan untuk menyelamatkan orang banjir pula digunakan untuk membawa calon SPM ke fasiliti kerajaan untuk mengambil peperiksaan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Peperiksaan SPM bermula hari ini dan akan berlangsung sehingga 6 Dis.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata peperiksaan akan diteruskan seperti biasa termasuk di negeri yang dilanda banjir.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), banjir dilaporkan berlaku di sembilan negeri setakat pagi ini.
Setakat 9.30 pagi, lebih 137,000 orang masih kehilangan tempat tinggal akibat banjir, yang turut mengorbankan enam orang setakat ini.