Az Zuha raih Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Malaysia

Perniagaan

PETALING JAYA – Syarikat penyedia perkhidmatan umrah dan haji, Azzuha Group Travel & Tours (Az Zuha) telah meraih Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MEBA) edisi ke-8 menerusi kategori Kecemerlangan Dalam Perkhidmatan Pelancongan.

Majlis penganugerahan yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini itu adalah sebagai penghormatan kepada perniagaan yang menunjukkan ketahanan luar biasa dan kebolehsuaian dalam menghadapi cabaran dunia pasca-pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit, Abdul Malik Abdul Raman berkata, pengiktirafan itu sekali gus mengangkat nama Az Zuha sebagai peneraju dalam industri pelancongan Islam di Malaysia.

“Pengiktirafan ini adalah satu pencapaian yang amat besar buat kami di Az Zuha. Ia mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan operasi.

“Kami amat berterima kasih kepada semua pelanggan yang terus mempercayai kami sepanjang 12 tahun ini,”katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, sebagai sebuah syarikat yang telah beroperasi selama 12 tahun, Az Zuha berjaya mengekalkan rekod bersih dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan.

Tambahan pula, syarikat ini telah dilantik oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1446H/2025M untuk tiga tahun berturut-turut.

Dalam perkembangan lain, Az Zuha juga telah memperkenalkan aplikasi e-Azzuha, inovasi pertama di Malaysia yang direka khas bagi melancarkan pengurusan jemaah menjalankan ibadah di Tanah Suci.

Aplikasi ini bukan sahaja menjimatkan masa berbanding kaedah manual, tetapi turut memberikan kemudahan kepada bakal jemaah dalam memilih pakej, membuat tempahan, dan menguruskan perjalanan umrah secara digital.

Ia turut dilengkapi dengan pelbagai ciri canggih, termasuk modul perjalanan umrah yang komprehensif selain pengguna boleh mengikuti perkembangan perjalanan serta mendapatkan maklumat terkini mengenai status visa, penerbangan, tempat penginapan, dan panduan perjalanan.-KOSMO! ONLINE